HEADLINES

Exco semua lelaki Terengganu cetus gesaan untuk kepimpinan lebih inklusif, perkasa wanita

Wakil wanita dalam kepimpinan itu mampu memastikan pertimbangan menyeluruh terhadap kebimbangan kaum berkenaan

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengumuman barisan Exco kerajaan Terengganu yang dibarisi semua pemimpin lelaki, mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya pengabaian terhadap kebajikan wanita di negeri berkenaan.

Bercakap kepada Scoop, beberapa tokoh politik menekankan keperluan untuk meletakkan wakil wanita dalam kepimpinan itu, bagi memastikan pertimbangan menyeluruh terhadap kebimbangan kaum terbabit di negeri berkenaan mampu diberi perhatian.

Timbalan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyambut baik pemilihan wanita sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, tetapi kesal apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, tidak dipilih sebagai ahli exco.

“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sepatutnya memilih seorang wakil (wanita) untuk berada dalam exco kerajaan negeri, bersama anggota lelaki.

“Ini untuk menunjukkan bahawa kerajaan negeri baharu adalah untuk semua dan mereka tidak mendiskriminasi wanita di DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya.

Berpendapat bahawa exco yang terdiri daripada semua lelaki itu mungkin tidak memahami sepenuhnya keperluan wanita, Mas Ermieyati mencadangkan agar libat urus berkesan dengan pelbagai pertubuhan wanita diperkasakan kerana ia dapat memastikan isu kebimbangan kaum itu ditangani.

Katanya, beliau turut berharap agar Samsuri, menyedari kepentingan mengintegrasikan kepimpinan wanita dalam pembangunan Terengganu.

“Saya harap pada masa akan datang mereka dapat mempunyai lebih ramai calon wanita dan mempamerkan lebih ramai kepimpinan dalam kalangan kaum ini yang boleh menjadi ikon kepada negeri lain,” katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, PN meletakkan calon tunggal wanitanya di Terengganu, Zuraida Md Noor yang memenangi kerusi Ladang.

Bekas Ahli Parlimen Klang tiga penggal, Charles Santiago menyuarakan sentimen sama, sambil menegaskan bahawa kemajuan Malaysia tidak harus dinafikan, terutama berkaitan penyertaan wanita dan belia dalam pembangunan masa depan negara.

Charles Santiago meminta penjelasan mengenai rasional di sebalik pelantikan barisan exco membabitkan semua lelaki. – Gambar Facebook Charles Santiago, 17 Ogos, 2023

Kekurangan wakil wanita dalam DUN, katanya, adalah ‘tidak sensitif’ kerana isu tertentu membabitkan kaum itu, hanya boleh difahami mereka sendiri.

“Sekarang, anda mempunyai lelaki yang memahami dunia dengan cara tertentu. Mereka akan menggunakan perspektif mereka untuk menyelesaikan isu berkaitan wanita, terutama hak reproduktif.

“Ia seolah-olah kita ke belakang. Mereka mesti melibatkan wanita di peringkat tertinggi. Kita mesti melihat masa depan. Ini 2023, saya pasti mereka boleh mencari wanita berkelayakan,” katanya.

Santiago berkata, pelantikan Zuraida sebagai exco boleh menggalakkan keterangkuman dan dilihat sebagai menghormati wanita yang mengundi gabungan itu.

Malah, beliau mempertikaikan tanggapan bahawa pelantikan itu tidak dipertimbangkan dengan teliti, selain meminta penjelasan mengenai rasional di sebalik barisan exco semua lelaki.

“Adakah ini pandangan agama yang mereka ikuti, pemimpin hanya lelaki, bukan perempuan?” Kelantan lantik exco wanita, kenapa tidak Terengganu?” soalnya.

Santiago juga menyeru PN mengambil inspirasi daripada Pakatan Harapan (PH) yang menghormati wanita dengan meletakkan mereka dalam jawatan kepimpinan tinggi, seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. – 17 Ogos 2023

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

22.4% fail SPM Maths — ‘That’s not just a number, it’s a national warning’

Poor foundational skills and declining global rankings signal long-term risks for Malaysia’s STEM talent pipeline, warns UKM academic

Related