Nahas Elmina: PM ziarah keluarga mangsa, kerajaan hulur bantuan permudah urusan jenazah

Beliau turut meminta keluarga banyak bersabar atas kejadian yang tidak dijangka itu

2:06 PM MYT

 

KLANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bantuan sepenuhnya akan diberikan kerajaan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi mempermudahkan urusan berkaitan jenazah mangsa tragedi pesawat terhempas di Bandar Elmina, petang semalam.

Beliau yang sempat meluangkan masa melawat dan menyantuni keluarga serta waris mangsa di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini turut meminta pihak keluarga supaya banyak bersabar.

“Minta keluarga banyak bersabar, tiada siapa boleh jangka (kejadian). Sekarang (pihak hospital) sedang uruskan proses forensik (bagi pengecaman mayat), ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dah selesai dan semua akan diuruskan kerajaan, begitu juga kerajaan Selangor dan majlis agama negeri (Jabatan Agama Islam Selangor).

“Sekarang ini kita bagi semua bantuan diperlukan untuk menguruskan jenazah, semua kelengkapan termasuk juga penginapan (waris dan keluarga). Kerajaan bagi bantuan kepada keluarga terutama kepada yang tidak mempunyai pekerjaan juga kepada anak-anak,” katanya kepada media di sini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mententeramkan anak sulung Datuk Seri Johari Harun iaitu Muhammad Shafieq Hafizilman ketika melawat dan menyantuni keluarga serta waris mangsa di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini. – Gambar Scoop, 18 Ogos, 2023

Suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HTAR) apabila lebih 50 ahli keluarga dan waris mangsa tragedi hadir sejak jam 9 pagi tadi dan berkumpul di bawah khemah yang disediakan pihak hospital bagi menunggu proses pengecaman dan tuntutan mayat.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga berpuas hati dengan usaha dan kerjasama yang diberikan pihak keselamatan, hospital dan badan kebajian yang banyak membantu waris dan ahli keluarga dengan cekap.

“Saya ikutii perkembangan daripada semalam, Alhamdulillah syukur soal keselamatan, forensik, hospital kemudian beberapa badan kebajikan lain (bantuan) penginapan dan sebagainya semua diuruskan dengan cekap.

“Saya bangga dan ucapkan terima kasih,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Pilihan Raya Kecil berikutan kejadian itu turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

“Itu tunggu kemudian,” katanya.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang semalam, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat Shah Alam.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, Adun Pelangai, Johari antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat – 18 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Severe turbulence: Singapore Airlines flight makes emergency landing in Bangkok, one dead, 30 injured

The Boeing 777 flying in from London was forced to land at Suvarnabhumi Airport, Bangkok, 3.45pm local time

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related