Jadikan Pulau Merambong pangkalan agensi penguatkuasa lindungi keselamatan nelayan tempatan

Penelitian dilakukan mendapati provokasi dicetuskan pihak berkuasa Singapura adalah satu kesalahan, selain bot peronda yang digunakan sebenarnya sudah menceroboh masuk ke sempadan negara

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wujud keperluan untuk menjadikan Pulau Merambong di Johor yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Singapura sebagai pangkalan menempatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi melindungi keselamatan nelayan tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, agensi keselamatan, khususnya APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) digesa mempertingkatkan pemantauan di perairan negara susulan provokasi yang didakwa dicetuskan pihak berkuasa Singapura, baru-baru ini.

Menurut beliau, berdasarkan penelitian dilakukan mendapati provokasi dicetuskan pihak berkuasa Singapura adalah satu kesalahan, selain bot peronda yang digunakan sebenarnya sudah menceroboh masuk ke sempadan negara.

“Sudah jelas pihak berkuasa Singapura melakukan kesalahan kerana kawasan yang dilalui ketika nelayan sedang memasang jaring berada di Selat Tebrau itu sudah memasuki perairan Malaysia.

“Pada masa sama, nelayan juga mempunyai bukti pihak berkuasa Singapura melakukan provokasi terhadap mereka, malah ada video bot peronda terbabit masih berada di sempadan negara.

“Sebab itu, ada keperluan untuk Pulau Merambong dijadikan sebagai pangkalan agensi keselamatan supaya kedaulatan negara dan sempadan kita tidak sewenang-wenangnya diceroboh pihak luar,” katanya kepada Scoop.

Dalam pada itu, Pandak berkata, beliau tetap komited untuk mengemukakan usul pemetaan semula perairan Singapura-Malaysia, membabitkan perairan Johor demi melindungi nelayan tempatan yang ditindas pihak berkuasa negara jiran.

Jelasnya, insiden jaring udang dipasang empat nelayan tempatan yang rosak dilanggar bot milik pihak berkuasa Singapura di perairan Selat Tebrau pada 15 Ogos lalu, bukanlah perkara baharu kerana ia pernah berlaku tahun lalu.

“Insiden pertengkaran mulut sekumpulan nelayan tempatan dengan pihak berkuasa Singapura di kawasan Pasir Laba juga berhampiran dengan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pernah berlaku pada Oktober 2022.

“Ini membuktikan wujud keperluan untuk pemetaan semula perairan Singapura-Malaysia dilakukan dengan segera. Walaupun isu ini pernah dibangkitkan dan masih tiada perkembangan diterima, saya tetap akan membawa usul ini pada 11 September depan agar pemimpin sedar ia perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada nelayan terbabit dan menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Diharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam memandangkan siasatan terperinci sedang dijalankan pihak polis,” katanya.

Pada Selasa lalu, empat nelayan mendakwa bot milik pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring udang yang dipasang mereka di kawasan perairan Selat Tebrau. – 19 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Masked assailant kills two cops, injures one in attack on Ulu Tiram police station

Suspect shot dead at scene of early-morning assault, pistol and sub-machine gun seized

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related