Pegawai bank sahkan lebih RM1 juta masuk akaun Rosmah antara 2014-2017

Wang itu telah dimasukkan ke dalam akaun Datin Seri Rosmah Mansor melalui CDM di beberapa cawangan Affin Bank di Kuala Lumpur

5:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa sejumlah wang RM1.09 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Affin Bank Berhad milik Datin Seri Rosmah Mansor menerusi beberapa transaksi antara Oktober 2014 dan Jun 2017.

Penolong Pengurus Perkhidmatan ATM (mesin teler automatik) dan Sokongan di Affin Bank Berhad Nor Ashikin Abdullah, 58, yang mengesahkan perkara itu berkata wang itu telah dimasukkan ke dalam akaun Rosmah bernombor 10-002000005-8 (akaun 0058) melalui CDM di beberapa cawangan Affin Bank antaranya di Bangunan Getah Asli, Bangsar dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kuala Lumpur.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa pada November 2018 beliau telah menerima permohonan daripada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA/CFT) bank tersebut untuk mendapatkan maklumat berkenaan rekod transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM (mesin deposit tunai) bagi akaun Rosmah.

“Bagi tujuan itu, saya telah mengakses rekod elektronik Affin Bank untuk mendapatkan maklumat yang dipohon dan kemudian mencetak laporan transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM bagi akaun 0058 daripada rekod elektronik dengan menggunakan komputer di pejabat,” katanya sambil menambah penyata tersebut kemudian dieserahkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi pendakwaaan pertama itu berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Rosmah yang didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu, saksi pendakwaan kedua iaitu bekas pegawai di Kompleks Seri Perdana memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah membantu pegawai atasannya iaitu Roslan Sohari (Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana) untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaun bank sama milik Rosmah.

Faizal Shamsuddin, 48, berkata beliau telah menerima arahan untuk mendepositkan wang Roslan dan lelaki itu menyerahkan satu sampul surat berisi wang tunai kepadanya, yang nombor akaun bank Rosmah telah dicatatkan pada sampul surat tersebut.

“Encik Roslan telah meminta saya menyerahkan sampul surat berisi wang tunai tersebut kepada pegawai di Affin Bank untuk menguruskan deposit tersebut.

“Saya cam dokumen pertama iaitu borang deposit Affin Bank yang menunjukkan deposit wang tunai sebanyak RM200,000 pada 17 Jun 2015 ke dalam akaun Rosmah dan berdasarkan tulisan tangan saya pada borang deposit ini, saya boleh sahkan deposit wang tunai ini dibuat oleh saya atas arahan Encik Roslan,” katanya. 

Terdahulu sebelum perbicaraan itu bermula, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon kepada mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini kerana mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan surat representasi bertarikh 18 Ogos yang dihantar oleh peguam Rosmah. Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam utama pembelaan Datuk Geethan Ram Vincent.

Bagaimanapun, Hakim K. Muniandy menolak permohonan pihak pendakwaan dan mengarahkan perbicaraan itu diteruskan dengan alasan pertuduhan terhadap Rosmah difailkan pada 2018.

Sementera itu, seorang lagi peguam Rosmah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan kepada mahkamah, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan kesemua pertuduhan yang difailkan terhadap anak guamnya pada atau sebelum 7 September ini.

Hakim kemudian mengosongkan tarikh perbicaraan esok dan menetapkan 7 dan 8 September untuk sambung perbicaraan kes itu.

Rosmah, 71, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – 24 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related