Penduduk Kampung Sungai Baru tuntut 5 perkara, kecewa diminta kosongkan kediaman 4 Oktober

Tuntutan itu termasuk meminta penjelasan Perdana Menteri bagi memastikan pemilik, penduduk mendapat hak seadil dan sewajarnya

9:42 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemilik dan penduduk Kampung Sungai Baru yang berdepan kontroversi bersama pemaju susulan tanah penempatan mereka terletak di atas sebahagian daripada projek pembangunan semula, meluahkan kekecewaan selepas diberikan tempoh penangguhan hanya sebulan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Justeru, Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru menuntut penjelasan dan kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain lima tuntutan lain berhubung tempoh penangguhan 30 hari daripada notis ditampal di kediaman mereka.

Ia kerana mereka mendakwa, isu terbabit memberikan kesan kepada pemilik dan penduduk rumah Kampung Sungai Baru yang sedang menantikan penjelasan daripada pihak kerajaan, seperti dijanjikan Perdana Menteri.

“Lanjutan itu, pihak kami sebulat suara ingin menuntut lima perkara, iaitu pertama, pihak berkenaan memberikan ruang untuk rundingan semula antara pemilik rumah dan pemaju, seperti disarankan Perdana Menteri selepas projek ini ditangguhkan sejak Januari 2023.

“Kedua, menggesa pihak kerajaan agar lebih tegas terhadap tindakan pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd yang sudah memindahkan sebilangan penduduk flat ke rumah transit, sebelum mendapat persetujuan seratus peratus penduduk flat dan teres untuk memajukan pembangunan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Jawatankuasa itu berkata, pihaknya turut menuntut pihak kerajaan memperhalusi dan menyiasat semula tindakan pemaju melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mendapatkan tanah penduduk yang tidak bersetuju secara paksa.

Katanya, tindakan secara paksa itu dilakukan melalui Akta Pengambilan Tanah yang diwartakan dalam tempoh darurat serta tidak melalui proses persetujuan Parlimen, sekali gus menganiaya penduduk sehingga tidak mendapat pembiayaan sewa dan pampasan setimpal.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan menuntut supaya pihak berkenaan menyemak semula proses pengurusan pengosongan rumah yang sudah dilakukan secara tidak teratur, termasuk komunikasi pihak berkaitan dengan pemilik dan penduduk.

“Sehingga hari ini, tiada wakil daripada jabatan terlibat hadir bagi memastikan kebajikan penduduk yang diusir keluar.

“Isu ini seolah-olah dipandang ringan selepas portfolio Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri sendiri, menyebabkan penduduk tidak dapat membuat rujukan kepada Menteri bertanggungjawab,” katanya.

Tuntutan kelima jawatankuasa itu adalah meminta kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri berkenaan pengeluaran Notis Pengusiran terbabit, seperti dalam dikeluarkan Setiausaha Politik beliau, Azman Abidin awal tahun ini.

Menurutnya, menerusi kenyataan Azman, beliau mengesahkan kes terbabit adalah dalam perhatian Perdana Menteri.

Kenyataan itu juga, katanya, memaklumkan akan memberi maklumat berhubung perkembangan seterusnya selepas pengeluaran Notis Pengusiran pertama pada 19 Disember 2022.

“Penduduk Kampung Sungai Baru berharap agar isu ini terus mendapat perhatian dan pembelaan daripada pihak Kerajaan Perpaduan, khususnya Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa terbabit, seperti Perbadanan Kampung Bharu (PKB), Pejabat Pengarah Tanah & Galian (PTG) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ia bagi memastikan penduduk Kampung Sungai Baru mendapat hak seadil dan sewajarnya,” katanya.

Pada 5 September lalu, penduduk di penempatan itu diberikan notis pengusiran untuk mengosongkan kediaman masing-masing selewat-lewatnya pada 4 Oktober ini.

Arahan pengusiran itu diterima walaupun Perdana Menteri pada Januari lalu, mengarahkan supaya projek itu ditangguhkan sementara menunggu rundingan dengan penduduk dan pihak berkepentingan.

Perkara itu didedahkan peguam jawatankuasa berkenaan, Khairul Shahrizan Hamizi menerusi Twitter, dengan berkongsi notis pengusiran diterima penduduk.

Notis dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur itu menyatakan, pemilik rumah berkenaan didapati tinggal di tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara. – 13 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related