Pendakwaan fail rayuan terhadap pembebasan Bung Moktar dan isteri

Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette berkata pihaknya telah dimaklumkan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada Jumaat lepas

4:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette semasa dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

“Ya, kami telah dimaklumkan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada Jumaat lepas (15 September),” kata peguam itu.

Pada 7 September lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang membuat keputusan itu berkata adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa penyemakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.

Pada 2 September tahun lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah itu. Ini mendorong mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka tanpa mendengar merit permohonan selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan berkenaan.

Pasangan itu kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan pada 7 Julai 2023, mereka berjaya dalam rayuan dan mahkamah menghantar semula permohonan semakan kepada Mahkamah Tinggi untuk merit permohonan didengar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – 19 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak cakna tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Related