Negara boleh runtuh bahana makan suap: Mimbar

Perlakuan jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat juga akan memberi impak negatif yang sangat dahsyat sekiranya tidak dibendung

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Jauhi rasuah, ia adalah pengkhianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan selain boleh meruntuhkan sebuah negara,’’ demikian ingatan mimbar dalam khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini.

Dengan tajuk ‘Bahana Makan Suap’, mimbar mengingatkan bahawa rasuah boleh menimbulkan huru-hara apatah lagi ia dilihat semakin membarah dan menyelinap dalam sistem kehidupan masyarakat pada hari ini.

Malah, perlakuan jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat juga akan memberi impak negatif yang sangat dahsyat sekiranya tidak dibendung.

“la boleh menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil, ekonomi yang tidak terurus, tata kelola yang tidak teratur dan mengancam keselamatan negara. Salah guna kuasa berleluasa, kekayaan dikuasai oleh golongan tertentu, yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin, ditindas dan tidak ada pembelaan.

“Maka natijahnya sesebuah negara itu bakal runtuh dan timbul huru-hara akibat jenayah rasuah yang mencengkam umpama api dalam sekam, atau seperti gunting dalam lipatan,” demikian teks khutbah Jumaat itu.

Mimbar menyeru semua pihak agar berusaha memerangi rasuah dalam negara secara serius demi memperkasa urus tadbir dan tata kelola terbaik – Gambar Scoop, 6 Oktober, 2023

Justeru, mimbar menyeru semua pihak agar berusaha memerangi rasuah dalam negara secara serius demi memperkasa urus tadbir dan tata kelola terbaik dalam perkhidmatan kerajaan, agensi badan berkanun dan swasta serta masyarakat keseluruhannya.

Sementara mimbar di Perak yang bertajuk ‘Mental Sihat, Hidup Sejahtera’, pula mengingatkan umat Islam untuk memastikan diri memiliki mental yang sihat melalui pengawalan dan pengurusan emosi yang betul.

Bantuan juga harus diberikan kepada mereka yang mengalami gangguan emosi dengan mendapatkan khidmat pakar pesakit mental, pakar kaunseling atau setidak-tidaknya memberikan nasihat dan membantu menenangkan hati mereka.

Umat Islam diingatkan untuk memastikan diri memiliki mental yang sihat melalui pengawalan dan pengurusan emosi yang betul – Gambar Scoop, 6 Oktober, 2023

“Ketika ini, negara hanya memiliki 600 pakar pesakit mental berbanding 3,000 tenaga pakar yang diperlukan.

“Hakikat ini perlu diberi perhatian terutama oleh pihak berkuasa, agar dapat memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya setiap negara mempunyai tenaga pakar pesakit mental dengan nisbah seorang pakar bagi setiap 10,000 orang pesakit.

“Tekanan dan bebanan hidup seseorang boleh dikurangkan jika masyarakat mengamalkan sifat ihsan yang bersedia membantu meringankan beban orang lain,” kata teks dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Di Selangor, khutbah yang bertajuk ‘Asnaf al-Riqab dan Gejala Sosial’ pula mengingatkan bahawa golongan asnaf Al-Riqab (terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah) adalah salah satu golongan yang berhak menerima zakat.

Penglibatan dalam kuliah agama, budaya mengajak orang ramai bersolat jemaah perlu digalakkan agar dapat memupuk rasa cinta kepada agama – Gambar Scoop, 6 Oktober, 2023

“Ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak meminggirkan golongan-golongan ini walaupun secara lumrahnya dipandang enteng malah beberapa bantuan telah disalurkan kepada golongan berkenaan,” katanya.

Mimbar turut memberi penekanan terhadap usaha menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat terutama usaha memberi perhatian penuh dan konsisten kepada anak-anak oleh ibu bapa.

“Antaranya persediaan menghadapi sebarang masalah dan tekanan emosi, menerima dengan baik sesuatu keputusan, membentuk sikap positif dan mengenali rakan-rakan anak agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan sifat-sifat mazmumah.

“Penekanan didikan agama perlu dititikberatkan seluruh lapisan masyarakat. Penglibatan dalam kuliah agama, budaya mengajak orang ramai bersolat jemaah perlu digalakkan agar dapat memupuk rasa cinta kepada agama,” menurut teks teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). – 6 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related