KUALA LUMPUR – Parti Bersatu bersedia untuk membincangkan dan memperhalusi bentuk kerjasama atau electoral pact pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin, menerusi satu kenyataan media berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik parti itu petang tadi, yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, keputusan untuk mewujudkan electoral pact dalam PRN Melaka adalah bertujuan untuk mengoptimumkan potensi bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri yang moderate dan progresif demi kesejahteraan rakyat Melaka.
“Bersatu juga mengambil ketetapan untuk menggunakan simbol parti Bersatu dalam PRN Melaka dan akan memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi dalam masa terdekat,’’ katanya.
Justeru, katanya, Bersatu merayu kepada rakyat Melaka untuk memberi peluang kepada calon-calon parti berkenaan untuk mewakili suara rakyat dan membawa perubahan yang hakiki serta memberikan manfaat langsung kepada semua rakyat Melaka.
Sebelum ini, wujud spekulasi mengenai kerjasama politik antara Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka, susulan laporan media yang memetik beberapa pemimpin kanan kedua-dua parti mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel di negeri itu.
Sementara Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini berkata, pihaknya tidak menutup pintu rundingan sekiranya ada ruang perbincangan dengan Bersatu.
“Kalau ada ruang, kita berbincang… jika tidak, kita bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan kesefahaman yang ada,” katanya.
PRN Melaka diadakan susulan pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. – 5 Oktober, 2026
