Penggantungan MYAirline: Rupanya kakitangan pun tidak dimaklum awal? ‘tiba-tiba pengurusan minta kosongkan ofis’

Lebih mengecewa dan menyedihkan, arahan itu diberi hanya beberapa jam sebelum pengumuman rasmi dibuat syarikat, malah ada kakitangan cuma mengetahui penggantungan berkenaan menerusi media sosial

1:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengumuman penggantungan perkhidmatan MYAirlines secara tiba-tiba bukan sahaja diterima orang awam, malah kru penerbangan, termasuk pramugara dan pramugari syarikat penerbangan berkenaan mendakwa turut berdepan situasi sama.

Menerusi sebuah video berdurasi 20 saat yang tular di TikTok semalam, kelihatan seorang individu dipercayai anak kapal MYAirline, Cecilia berkongsi cerita bagaimana dia dan rakan sekerja lain, diminta mengosongkan ruang kerja masing-masing.

Lebih mengecewa dan menyedihkan, apabila arahan itu didakwa hanya diberikan beberapa jam sebelum penggantungan terbabit diumum secara rasmi syarikat berkenaan menerusi kenyataan.

“Pada 11 Oktober 2023, jam 11 malam, pengurusan (MYAirline) beritahu bahawa penerbangan esok dibatalkan.

“(Kemudian) pada 12 Oktober 2023, jam 3.30 pagi, mereka kata syarikat ‘henti operasi’,” menurut paparan status di video itu.

@cecilia_thristcher00

2nd time heart broken in this industry ! #airasia #airasiax retrenchment 31st Dec 2020 & #MYairline suspended operations 12 Oct 2023 . What next ??

♬ gwenchana imran bard – bukan nasuha

Bagaimanapun, individu terbabit mendakwa, walaupun menerima ‘berita duka’ itu, dia dan kru yang bertugas untuk penerbangan terakhir Kota Kinabalu tetap menjalankan tanggungjawab.

“Arrival (ketibaan) BKI 8806 pada 12 Oktober 2023, 4.37 pagi. Penerbangan terakhir kami dan ya, kami tetap lakukan tugas kami!” katanya sambil menunjukkan momen mereka melakukan tugasan dalam penerbangan itu, sehingga selesai bertugas.

Menurutnya, pada jam 7 pagi hari sama, mereka diminta untuk mengemas barangan.

“Mereka minta kami ‘kosongkan ofis,” katanya.

Melalui keterangan video itu, Cecilia turut menulis situasi terbabit adalah kekecewaan kali kedua dialaminya sebagai anak kapal kerana pernah diberhentikan semasa menjadi kru syarikat penerbangan lain pada 2020, iaitu ketika COVID-19.

“Kali kedua kecewa dalam industri ini! Berdepan pemberhentian di Air AsiaX pada 31 Disember 2020 dan MYAirline menggantung operasi 12 Oktober 2023, apa selepas ini?” katanya.

Perkongsian itu meraih kira-kira 12,300 respons daripada netizen, dengan lebih 600 komen yang rata-rata bersimpati dan sebak dengan situasi dialami kakitangan syarikat penerbangan berkenaan, malah mendoakan mereka dimurahkan rezeki.

Rata-rata warga maya bersimpati dan sebak dengan situasi dialami kakitangan syarikat penerbangan berkenaan, malah mendoakan mereka dimurahkan rezeki – Tangkapan layar media sosial, 13 Oktober, 2023

“Ini menyedihkan, sangat sedih. Pakcik saya bekerja dengan MYAirlines dari hari pertama operasi mereka dan berusaha sebaik mungkin ketika berkhidmat untuk meletakkan penerbangan ini di kedudukan dicapai kini. Semalam dia pulang dengan kesedihan dan kekecewaan,” kata Daniel.

“Kasih sayang untuk semua rakan saya yang terkesan dengan keputusan MYAirlines,” ujar seorang pengguna.

“Anda semua sangat berdedikasi untuk menjadikan syarikat ini yang terbaik. Saya memahami perasaan anda semua. Saya harap ada hikmah di kemudian hari, kekal kuat,” tulis pengguna lain.

“Wow minta terus kosongkan office,” kata seorang pengguna dengan nada terkejut.

Manakala, beberapa pengguna platform media sosial sama, seolah-olah tidak percaya bahawa syarikat berkenaan tegar membuat pengumuman saat akhir kepada kakitangannya, namun ia diakui netizen lain.

“Abang saya yang as manager pun baru tahu pagi tadi pukul 5 pagi, itu pun menerusi Facebook,” respon nisacarlead.

Beberapa pengguna platform media sosial sama, seolah-olah tidak percaya bahawa syarikat berkenaan tegar membuat pengumuman saat akhir kepada kakitangannya, namun ia diakui netizen lain – Tangkapan layar media sosial, 13 Oktober, 2023

“Pukul 5 pagi baru diaorang tahu menerusi Whatsapp dan emel,” kata David gilmour.

Penggantungan operasi MYAirline dilakukan sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan syarikat penerbangan berkenaan kembali dilakukan – Tangkapan layar media sosial, 13 Oktober, 2023

MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa semalam, hingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Lembaga Pengarah MYAirline memaklumkan, keputusan itu diambil susulan syarikat terbabit kini mengalami masalah kewangan ketara.

Katanya, penggantungan operasi itu juga dilakukan sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan syarikat penerbangan berkenaan kembali dilakukan.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja serta rakan kongsi kami yang berdedikasi,” katanya menerusi kenyataan. – 13 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related