Konflik Israel-Palestin pada asasnya bersifat politik, bukan agama: Duta Palestin

Menurutnya, persengketaan berterusan diburukkan lagi dengan pendudukan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat

1:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Disebalik dakwaan ramai bahawa ‘perang suci’ sedang berlaku di Asia Barat, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, menegaskan punca konflik Israel-Palestin ini secara asasnya adalah bersifat politik, bukannya keagamaan.

Bercakap kepada Scoop, Walid berkata, persengketaan berterusan diburukkan lagi dengan pendudukan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Ketika konflik berterusan, Walid berkata, tanpa mengira latar belakang, rakyat Palestin sama ada Kristian atau Islam, amat terkesan dengan pencerobohan Israel.

Beliau menyangkal tanggapan bahawa konflik tersebut berakar umbi daripada perbezaan agama sebaliknya menyifatkan ia sebagai ‘perjuangan politik’ dan bukannya agama.

“Peluru Israel tidak membezakan antara Hamas dan Fatah, serta tentera Israel tidak membezakan antara Kristian Palestin atau Islam Palestin.

“Kami berjuang bersama-sama, kami adalah pemilik tanah ini, dan isunya bukan Judais atau Yahudi,” kata Walid ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Sehingga kini, konflik di Gaza mengorbankan seramai 2,300 penduduk Palestin, termasuk 900 kanak-kanak dan 250 wanita, dengan hampir 10,000 cedera.

Dianggarkan setengah juga penduduk Palestin hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah manakala bangunan seperti sekolah dan masjid turut dijadikan sasaran.

Gelombang terbaharu tercetus selepas kumpulan Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 penduduk di wilayah itu pada 7 Oktober lalu.

Sehingga kini, konflik di Gaza mengorbankan seramai 2,300 penduduk Palestin, termasuk 900 kanak-kanak dan 250 wanita, dengan hampir 10,000 cedera. – Gambar Facebook Wafa News Agency, 18 Oktober, 2023

Bagi membantu meredakan keadaan, Walid juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab bagi menghentikan pencerobohan Israel.

Ditanya sama ada menambah baik keadaan ekonomi bagi rakyat Palestin akan membantu membina keamanan di wilayah itu, Walid berkata, ia adalah konsep yang pada mulanya dicadangkan oleh Shimon Peres semasa menjadi Perdana Menteri Israel.

Beliau menyatakan bahawa Peres percaya penyelesaian ekonomi berpotensi menyelesaikan perjuangan Palestin.

Bagaimanapun, Walid berkata, sebarang resolusi mampan adalah bergantung kepada pengiktirafan Israel terhadap sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

“Isunya ialah Israel menceroboh wilayah kami.

“Isunya bukan Fatah dan Hamas, isunya bukan keadaan ekonomi, isunya bukan kita lapar atau cukup makanan. Isunya ialah pendudukan Israel,” katanya.

Bagi menamatkan kesukaran Palestin dan membawa keamanan ke rantau ini, beliau menegaskan komuniti antarabangsa perlu memainkan peranan aktif dalam menamatkan pencerobohan Israel dan membenarkan rakyat Palestin untuk merasai kebebasan dan kemerdekaan.

Merujuk kepada perspektif Israel, beliau memetik kepercayaan yang kukuh.

“Dari perspektif Israel, rakyat Palestin yang baik adalah rakyat Palestin yang terkorban.’’

Kepercayaan ini, katanya, telah membawa kepada tindakan Israel sejak penubuhan Israel.

Beliau berkata, perjanjian damai antara Israel dengan Mesir dan Jordan, semasa ditandatangani di peringkat kerajaan, tidak diterjemahkan kepada keamanan untuk rakyat di negara tersebut.

Bagi membantu meredakan keadaan, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab bagi menghentikan pencerobohan Israel. – Gambar Alif Omar/Scoop, 18 Oktober, 2023

Menjawab soalan mengapa penyelesaian dua negara itu gagal, Walid merujuk kepada ahli politik Israel dan ideologi mereka, yang didakwanya tidak menerima kewujudan Palestin.

Ketakutan Israel terhadap ancaman keselamatan menyebabkan mereka enggan mengiktiraf sebuah negara Palestin, kata Walid.

Mengakui Israel mendapat sokongan dari barat, Walid berkata: “Israel kekal sebagai kuasa besar dengan peralatan ketenteraan yang terkini, dan mereka sentiasa takut rakyat Palestin masih mensasarkan mereka.”

Beliau menegaskan bahawa Palestin menerima penyelesaian dua negara dan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 mengikut resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Bagaimanapun, beliau berkata, Israel tidak menerima penyelesaian itu kerana percaya ia adalah kuasa besar dan mendapat sokongan Amerika.

Sejarah Palestin sejak berabad lalu, kata Walid menunjukkan bahawa ia adalah milik penduduk Palestin, sebelum kewujudan Israel.

Beliau menjelaskan tidak kira berapa canggihnya tentera Israel, ia tidak akan dapat memadamkan hubungan yang mendalam penduduk Palestin dengan tanah air mereka.

Mengenai peranan media antarabangsa dalam konflik berkenaan, beliau mempersoalkan perhatian terpilih ke atas penderitaan rakyat Palestin, seperti apabila Israel menceroboh Jenin atau apabila penduduk awam Palestin, seperti keluarga Dawabsheh, dibakar hidup-hidup di rumah mereka.

Beliau turut merujuk kepada insiden seperti pembakaran Muhammad Mohammed Abu Khdeir dan dalam kes ini, reaksi antarabangsa sangat lemah.

Walid turut membangkitkan isu provokasi dan serangan Israel ke atas perkampungan Palestin dan mempersoalkan sikap berdiam diri media dalam keadaan sedemikian.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk melayan penduduk Palestin dan Israel dengan adil dan saksama, sambil menegaskan bahawa pendekatan seimbang terhadap penyelesaian konflik akan menjadi cara paling berkesan untuk mencapai keamanan yang berkekalan di rantau itu.

‘’Sudah tentu sebagai duta – dan presiden kami melakukan perkara yang sama, dan pegawai kami melakukan perkara yang sama – kami mengutuk pembunuhan orang awam, tetapi (media antarabangsa dan masyarakat) sama (turut serta). Mengapa mereka (media barat) tidak pernah meminta Israel mengutuk (perbuatan) rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel? Mengapa pilih kasih?”

“Sudah tentu, saya menentang pembunuhan mana-mana orang awam, namun masyarakat perlu adil dengan kami ketika orang awam Palestin juga terbunuh.,” katanya. – 18 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak cakna tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Related