Dakwaan penyelewengan dana bantuan: SPRM siasat Aman Palestin

Ketika ini ramai tidak berpuas hati, termasuk agensi kerajaan sendiri dalam tindakan Aman Palestin mengawal selia kutipan derma: Sumber

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) berhubung dakwaan wujud penyelewengan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang aktif mengumpul dana bantuan khususnya untuk rakyat Palestin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya boleh menjalankan siasatan berhubung maklumat disiarkan media walaupun tiada laporan dibuat kepada agensi berkenaan.

“SPRM boleh bertindak menjalankan siasatan berhubung maklumat disiarkan media. Berkaitan kes Aman Palestin, SPRM sudah memulakan siasatan.

“Apabila melibatkan kes kepentingan awam dan kita mempunyai maklumat sahih, SPRM akan menyiasat walaupun tiada laporan dibuat,” katanya kepada Scoop, hari ini.

Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM boleh bertindak menjalankan siasatan berhubung maklumat yang disiarkan oleh media walaupun tiada laporan dibuat kepada agensi berkenaan – Azim Rahman/Scoop, 20 Oktober, 2023

Dalam pada itu, sumber SPRM ketika dihubungi memaklumkan, setakat ini berdasarkan maklumat diperolehi menerusi pelbagai pihak di media massa dan media sosial, hanya Aman Palestin didakwa mempunyai ‘unsur menyeleweng’.

“Setakat ini, hasil informasi yang kita terima, hanya Aman Palestin didakwa (media massa dan media sosial) melakukan penyelewengan, tiada NGO lain terlibat. Ketika ini ramai tidak berpuas hati, termasuk agensi kerajaan sendiri dalam tindakan (Aman Palestin) mengawal selia kutipan derma.

“Walaupun SPRM tidak menerima laporan, siasatan awal sudah dilakukan ke atas Aman Palestin dan sekiranya dipastikan mempunyai unsur menyeleweng dana, kita akan ambil tindakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Terdahulu, laman Facebook rasmi ProMedia Tajdid pada 11 Oktober lalu, memuat naik surat bertarikh 24 Ogos tahun ini yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis yang meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dibuat di premis agama Islam negeri itu.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin melalui tulisannya dalam surat itu menjelaskan, pihaknya menerusi Jabatan Mufti Negeri berpendapat, terdapat hal yang tidak jelas dan menimbulkan persoalan berhubung kutipan Tabung Aman Palestin.

Justeru, sebarang kutipan Tabung Aman Palestin di setiap premis agama Islam di Perlis sudah pun dihentikan berkuat kuasa 12 Oktober lalu, sehingga siasatan terhadap NGO terbabit selesai.

Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali ketika ditemui Scoop mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyalurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat keganasan di Gaza, ke tabung derma meragukan.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyalurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin kepada tabung derma yang meragukan – Alif Omar/Scoop, 20 Oktober, 2023

Walid menekankan adalah penting bagi memastikan sumbangan kepada penduduk Palestin sampai kepada penerimanya, selain mengingatkan rakyat Malaysia akan keperluan untuk menyalurkan sumbangan itu kepada saluran betul dan perlunya ketelusan serta akauntabiliti.

Dalam pada itu, Aman Palestin menzahirkan kekecewaan pihaknya dan menuntut penjelasan daripada Jabatan Mufti Perlis serta JAIPs yang mensabitkan pertubuhan itu dengan salah laku, rasuah, penyelewengan serta penggelapan wang berkaitan kutipan derma di Perlis.

Aman Palestin turut menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang demi mempertahankan nama baik, kewibawaan dan integritinya daripada fitnah dilemparkan. – 20 Oktober, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Boycotted due to KK Mart name mix-up, Kedah seafood shop ‘shell’-shocked

Nur Hamidah, the owner of KK Fresh Mart in Kedah, clarified that the acronym stood for Kuala Kedah Fresh Mart, emphasising no association with KK Mart. 

Related