Mahkamah benarkan Bersatu cabar keputusan SPRM beku akaun bank

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memberi kebenaran tersebut dalam prosiding secara dalam talian, sekali gus akan mendengar merit permohonan berkenaan

11:04 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dua akaun bank parti itu.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memberi kebenaran tersebut dalam prosiding secara dalam talian, sekali gus akan mendengar merit permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 November ini untuk pengurusan kes semakan kehakiman tersebut.

Pada  29 Mei lalu,  Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya bagi siasatan.

Bersatu menamakan Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Menurut afidavit yang difailkan Bersatu menyatakan, pada 19 April lalu, akaun CIMB dan Ambank miliknya telah disita tanpa membuat serahan perintah penyitaan tersebut di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada 20 April lalu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menyita dua akaun bank milik Bersatu bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

Menurut plaintif, tindakan SPRM membekukan kesemua akaun milik Bersatu secara salah berdasarkan tuduhan-tuduhan palsu, tohmahan dan fitnah jahat secara bersekongkol dengan pemimpin kerajaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Muhyiddin.

Susulan itu, Bersatu memohon antaranya perintah untuk membatalkan perintah SPRM menyita akaun-akaun Ambank dan CIMB mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001.

Ia juga memohon perintah supaya SPRM menyerahkan Perintah Penyitaan (yang didakwa salah) yang sehingga kini masih tidak pernah diserahkan kepada BERSATU walaupun diminta berkali-kali yang mencabul hak pemilikan harta parti berkenaan.

Turut dimohon, satu perintah supaya SPRM membebaskan keseluruhan akaun Bank Bersatu daripada sebarang kekangan dan pembekuan dan selanjutnya perintah supaya CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank (M) Berhad membebaskan akaun berkenaan. – 30 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related