Harga ayam menurun susulan pelaksanaan apungan harga

Lotus Malaysia menawarkan harga terendah dalam kalangan rangkaian pasar raya dengan harga ditetapkan pada RM7.39 sekilogram ayam

3:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Harga ayam secara amnya menurun, di rangkaian pasar raya di seluruh negara berikutan penamatan subsidi dan mekanisme kawalan harga bahan mentah itu berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan Scoop mendapati rangkaian pasar raya seperti Mydin, NSK Trading City dan Lotus Malaysia menurunkan harga mereka dengan ketara bagi sekilogram (kg) ayam yang berharga RM9.40 semalam di bawah kadar subsidi.

Berdasarkan laman webnya, Lotus Malaysia menawarkan harga terendah dalam kalangan rangkaian pasar raya dengan harga ditetapkan pada RM7.39 sekilogram ayam, diikuti NSK Trading City (RM7.79); Fresh Grocer (RM7.59), Giant (RM7.89); Sam Groceria (RM9.39) dan Mercato (RM10.99).

Sementara itu, beberapa pasar basah di kebanyakan lokasi, menjual ayam pada harga RM9.40, iaitu harga siling runcit bahan mentah itu sebelum ini.

Peniaga ayam di pasar basah TTDI, Burhan Syafie, 54, berkata, bekalan ayam di negara ini kekal stabil dan harganya tidak akan naik.

Burhan Syafie berkata, dia menjual kira-kira 200 hingga 300 ekor ayam setiap hari, dengan lebih banyak dijual pada hujung minggu. – Gambar Alif Omar/Scoop, 1 November, 2023

“Bekalan ayam akan mencukupi sekiranya ayam import mencukupi di pasaran.

“Tetapi jika bekalan berkurangan, harga ayam mungkin naik RM1 hingga RM2,” katanya kepada Scoop.

Burhan berkata, dia menjual kira-kira 200 hingga 300 ekor ayam setiap hari, dengan lebih banyak dijual pada hujung minggu, membolehkannya memperoleh keuntungan bersih antara RM400 hingga RM500 setiap hari.

Seorang lagi peniaga ayam berusia 33 tahun yang ingin dikenali sebagai Man berkata, walaupun harga ayam hari ini mungkin turun, dia menjangkakan berlaku kenaikan beberapa hari lagi menjelang sambutan Deepavali.

“Semasa Deepavali, harga ayam mungkin naik. Dalam beberapa hari akan datang, ia mungkin naik antara 30 sen hingga 50 sen daripada harga pasaran biasa,” katanya.

Man juga berkata, harga semasa ayam itu adalah berdasarkan harga kawalan terakhir, dengan keuntungan ditetapkan hanya RM1 bagi setiap ayam yang dijual.

Man berkata, jika pelanggan tawar-menawar, dia akan memberikan harga lebih murah. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 1 November, 2023

“Harga ayam adalah RM9.40 sekilogram mengikut harga kawalan sebelum ini, tetapi jika pelanggan tawar-menawar, kami akan berikan harga lebih murah.

“Kami memperoleh RM1 (keuntungan untuk seekor ayam segar) kerana kebiasaannya kami tidak mendapat banyak keuntungan daripada bahagian ayam lain yang dipotong seperti paha dan hempedu kerana harganya dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga ayam, Ummah Isa, 25, berkata, dia mengakui teragak-agak untuk memberitahu pelanggan tetapnya setiap kali harga ayam naik kerana mereka akan menganggapnya bermain dengan harga untuk mendapatkan lebih keuntungan.

“Apabila (harga ayam diapungkan pada masa lalu) dalam satu minggu sahaja, harga akan naik dan menurun sekurang-kurangnya dua kali.

“Kadangkala, apabila harga naik tiga kali seminggu, saya teragak-agak untuk memberitahu kepada pelanggan tetap saya yang membeli ayam setiap hari untuk restoran mereka kerana mereka fikir kami menukar harga,” katanya.

Ummah Isa mendedahkan dia hanya memperoleh keuntungan RM1 bagi setiap jualan seekor ayam. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 1 November, 2023

Sambil memberitahu kebanyakan pelanggan tetapnya adalah pemilik restoran, dia mengakui perlu mematuhi harga yang ditetapkan pembekal dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa (mengenai harga ayam). Saya hanya mengikut harga yang ditetapkan oleh pembekal dan KPDN,” katanya.

Sama seperti Man, Ummah juga berkata, dia hanya memperoleh keuntungan RM1 bagi setiap jualan seekor ayam segar atau keuntungan RM1.50 untuk ayam bersaiz kecil. – 1 November 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Severe turbulence: Singapore Airlines flight makes emergency landing in Bangkok, one dead, 30 injured

The Boeing 777 flying in from London was forced to land at Suvarnabhumi Airport, Bangkok, 3.45pm local time

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related