HEADLINES

Ketirisan dana awam, tindakan tegas ke atas pegawai, menteri salah guna kuasa: PM

Kerajaan telah melalui beberapa teguran pengauditan berhubung perolehan seperti yang dilaporkan dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)

9:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menekankan pentingnya reformasi tatakelola bagi menangani pembaziran peruntukan dana awam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau menteri yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan ketirisan dana awam.

Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu soal rasuah dan tatakelola diremehkan kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada dana awam, seperti yang sering ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini.

“Pengalaman-pengalaman (salah guna kuasa dan ketirisan) ini kita harus ambil kira dan kita tegaskan tak boleh berulang… sebab itu kita putuskan untuk ambil tindakan sebaik sahaja ia disahkan.

“Pegawai, pengurus atau menteri atau siapa sahaja yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan, ini termasuk juga pengurusan dana syarikat kerajaan yang kurang memuaskan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah melalui beberapa pengalaman, termasuk teguran pengauditan berhubung perolehan seperti yang dilaporkan dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), umpamanya kegagalan 104 ventilator berfungsi daripada 136 yang diperoleh semasa pandemik COVID-19 dan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin tamat tarikh luput. 

Selain itu, beliau berkata taklimat oleh Ketua Audit Negara berhubung hasil pengauditan terkini menunjukkan penemuan utama adalah kerugian wang awam hampir RM700 juta, antaranya melibatkan pengurusan program penanaman padi negara, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri. 

Menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Anwar berkata perkara itu telah ditugaskan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama jawatankuasa yang dibentuk.

“…seperti mana kita lakukan ketika zaman Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ada libat urus, runding ada parameter, kita runding, kita teruskan. Saya tidak beranjak daripada pendirian itu. Soal nak kata zalim, maknanya kerajaan dulu zalimlah, tak bagi (peruntukan).

“Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) pun tahu, bincang, kalau munasabah, kita lulus tak ada masalah, kata tak ada peruntukan tak betul, peruntukan Ahli Parlimen itu keputusan kemudian, bukan hak, haknya beri peruntukan cukup pada rakyat, bukan Ahli Parlimen, wakil rakyat ada hak dia, ada gaji ada elaun,” katanya.

Mengulas celahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkaitan pelarasan pencen tentera, Anwar berkata kajian telah dilakukan bersama sekretariat Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melihat penyelarasan menyeluruh termasuk veteran tentera berpencen.

“Jadi beri saya sedikit lagi waktu, saya beri jaminan saya tidak mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketepikan permohonan mana-mana pihak, kita minta bersama KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) buat kajian menyeluruh bagi pastikan tiada satu pun tertinggal,” katanya.

Mengenai penggunaan bahasa Melayu bagi surat rasmi, Anwar menjelaskan bahawa perkara itu hanya dikuatkuasakan terhadap jabatan dan syarikat tempatan manakala syarikat antarabangsa diberi pengecualian. – 2 November, 2023

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related