11 permohonan semakan hukuman mati, penjara seumur hidup didengar hari ini: Azalina

Menurutnya, perkara itu membuktikan prinsip keadilan restoratif dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia sentiasa terpelihara

11:21 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 permohonan dikemukakan banduan akhir di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) didengar di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu membuktikan prinsip restorative justice (keadilan restoratif) dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia sentiasa terpelihara.

Menurutnya, kejayaan itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia sejagat.

“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi negara kita kerana permohonan bagi Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) telah didengar di Mahkamah Persekutuan.

“11 permohonan itu membabitkan tujuh banduan hukuman mati bagi kesalahan 39B pengedaran dadah berbahaya dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat lagi melalui semakan bagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azalina berkata, setakat 9 November lalu Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) menerima permohonan semakan 978 kes iaitu 861 bagi hukuman mati dan 117 lagi membabitkan pemenjaraan sepanjang hayat.

“Secara keseluruhannya terdapat seramai 1,020 banduan hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat layak mengemukakan permohonan mereka. Mengikut peruntukan Akta 847 kesemua permohonan perlu dikemukakan kepada mahkamah dalam tempoh masa 90 hari dari tarikh kuatkuasa akta ini.

“Pelaksanaan bagi pengendalian prosiding mahkamah ini mengambil kira pelbagai faktor mengikut keutamaan termasuklah umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan lain yang mendesak,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan pengenaan hukuman mati bagi kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah di Malaysia.

“Namun, ia bukan lagi mandatori seperti sebelum ini dan pindaan undang-undang memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam mengenakan hukuman sewajarnya.

“Perkara ini selari dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan akhir untuk kembali ke masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa.

Mengikut peruntukan Akta 847 yang berkuat kuasa 12 September lepas, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa budi bicara untuk menyemak semula kes membabitkan hukuman mati.

Ini susulan penguatkuasaan undang-undang baharu iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Di bawah undang-undang itu, hukuman mati mandatori bagi kesalahan seperti mengedar dadah dan membunuh telah dihapuskan.

Undang-Undang itu memberi pilihan kepada hakim sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, pesalah boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berusia di bawah 50 tahun. – 14 November, 2023

Topics

Hangat

Casino a practical source of charity funds, no threat to faith, Tawfik Ismail tells Johor MB

Son of Tun Dr Ismail Abdul Rahman cites work of Noah Foundation using profits from Genting

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Zus Coffee in hot water over ‘one-off activity’ with under-boycott Adidas

Coffee chain company issues apology and says it was not a collaboration, vowing to be more careful and asserting it 'unequivocally condemns any acts of violence against humanity'

Related