Meredakan ketegangan agama, kaum: Kempen #MZB365 dilancarkan demi perdamaian negara

Inisiatif berkenaan, yang bermaksud 'Maaf Zahir Batin', bertujuan menjadikan amalan memohon dan memberikan kemaafan berterusan sepanjang tahun

9:12 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan dalam masyarakat sivil dan media telah menggembleng tenaga melancarkan kempen #MZB365 bagi melawan ungkapan kebencian dan provokasi etnik-agama di negara ini, ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin menghampiri.

Inisiatif tersebut, yang bermaksud “Maaf Zahir Batin,” – iaitu kelaziman dan amalan dalam masyarakat Melayu-Islam – bertujuan memohon dan memberikan kemaafan sepanjang tahun, tanpa mengira agama dan kaum.

Insiden baru-baru ini, seperti kontroversi stoking tertera kalimah ‘Allah’ dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang didakwa menyalahguna istilah ‘kafir’ menyerlahkan kerapuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Sebagai manusia, kita perlu insaf dan memohon maaf setiap hari dan juga bersedia memaaf setiap hari.

‘Amalan memohon dan memberi maaf adalah ajaran dalam Islam, dan juga dalam sistem nilai agama Budha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme, dan komuniti-komuniti orang asal/asli di Sabah, Sarawak serta Semenanjung,’’ kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu turut mengingatkan mengenai gejala populisme yang berasaskan kebencian dan teori konspirasi yang melumpuhkan negara.

Sebaliknya mereka menggesa rakyat Malaysia untuk sama-sama melawan kebencian itu dengan kekuatan, sama seperti ketika pandemik Covid-19 melanda negara di bawah gerakan #KitaJagaKita.

“Memupuk semangat dan amalan memohon dan memberi maaf menjadi semakin penting kerana terdapat individu-individu serta puak-puak yang setiap hari mencari peluang dan alasan untuk memecahkan masyarakat demi kepentingan politik, perniagaan dan peribadi.

“Mereka mencari setiap salahlaku yang boleh diperbesarkan untuk menyemai perasaan sangsi dan benci supaya mereka dapat diangkat menjadi pahlawan sampai ada yang melampaui batas undang-undang dengan membakar dan mengganas.

“Di mana batas undang-undang dilampaui, kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi. Di mana akal ditipu dengan propaganda dan pembohongan, kebenaran dan pemikiran logical mesti ditegakkan. Akan tetapi, tiada penawar yang lebih baik daripada rahmah, yang boleh mengeratkan silaturahim, menghancurkan benci, melenyapkan sangsi dan menewaskan mereka yang ingin menangguk dalam air keruh.

“Mari kita #MZB365, melawan benci dengan rahmah setiap hari. Sertai dan jayakanlah pergerakan ini,’’ kata kenyataan itu.

Rakyat Malaysia masih terkesan dengan isu stoking yang tertera kalimah “Allah” yang ditemui di cawangan KK Mart, Selangor dua bulan lalu. – Gambar Abdul Razak Latif/Scoop, 7 April, 2024

Sebanyak 18 pertubuhan mengambil bahagian termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), G25, Ikram Malaysia, Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), bersama 19 pertubuhan media termasuk Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my, selain RTM, The Star, MalaysiaKini, Malay Mail, dan Astro Awani, FMT, Bernama, Utusan Malaysia, NSTP, serta lain-lain.

Kempen ini turut mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia.

Mereka yang berminat dalam usaha yang lebih diselaraskan untuk kempen ini, boleh log masuk ke borang google yang disediakan, dengan Projek SAMA akan memastikan maklumat sentiasa dibekalkan.

Semalam (6 April) Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, mendedahkan kes membabitkan isu agama, kaum dan institusi raja (3R) meningkat sebanyak 123% bagi tempoh suku pertama tahun ini,

Sebanyak 47 isu perpaduan berkaitan 3R direkodkan tahun ini, berbanding 21 isu bagi tempoh sama pada tahun lalu, kata Aaron Ago.

Katanya, sebanyak 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lalu, yang mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes), ucapan kebencian agama (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139).

Selain statistik itu, rakyat Malaysia masih terkesan dengan isu stoking yang tertera kalimah “Allah” yang ditemui di cawangan KK Mart, Selangor dua bulan lalu.

Isu berkenaan mencetuskan boikot di seluruh negara, diketuai Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang ketika ini berdepan dengan siasatan, meskipun pengasas kedai serbaneka KK Mart dan pengarahnya serta pengilang didakwa di mahkamah.

Sementara itu, pada 31 Mac, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjadi perhatian dengan isu “Kafir pun saya haramkan di rumah. Saya tak ajar anak saya sebut kafir” menjadi tular di media sosial.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata mengesahkan siasatan telah dijalankan. – 7 April, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related