HEADLINES

Sharnaaz, bebas tuduhan cederakan pengawal keselamatan

Alhamdulillah…walaupun mengambil masa yang agak panjang, tetapi saya bersyukur, lega dan akhirnya saya seorang yang bebas, kata Sharnaaz

1:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan pelakon Sharnaaz Ahmad daripada pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nadia Eleena Jamaluddin Akbal.

“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan peguam, mahkamah berpuas hati dan memerintahkan supaya OKS dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Wang jaminan (RM2,000) dikembalikan kepada OKS,” kata Atiqah.

Sharnaaz, yang berbaju kemeja berwarna hitam dan berseluar hitam, kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.

Terdahulu, Wan Azmir berkata satu representasi telah dihantar kepada pendakwaan pada 2 Mei lepas dan pihak pembelaan menerima jawapan melalui surat balas bahawa pendakwaan ingin menarik balik pertuduhan terhadap pelakon itu.

TPR Nadia Eleena yang mengesahkan perkara itu berkata beliau mendapat arahan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk kes berkenaan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan).

Bagaimanapun, Wan Azmir berkata pihaknya memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan dan bukannya dilepas tanpa dibebaskan kerana pengadu sendiri telah menarik balik kes.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu berhubung penarikan balik kes tersebut. Oleh itu, saya mohon satu keputusan DNA (lepas dan bebas) perlu diberikan kepada Sharnaaz,” katanya yang turut mengendalikan kes bersama seorang lagi peguam Sharnaaz, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Pada 18 Jan lepas, Sharnaaz mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Pelakon drama bersiri “Bukan Kerana Aku Tak Cinta” itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Sharnaaz ketika ditemui media selepas prosiding melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan hari ini.

“Alhamdulillah…walaupun mengambil masa yang agak panjang, tetapi saya bersyukur, lega dan akhirnya saya seorang yang bebas.

“Ia melibatkan soal reputasi dan perjalanan karier saya yang berbelas-belas tahun,” kata pelakon itu. – 17 November, 2023

Topics

 

Hangat

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

Axelsen confirms split from wife, just over a week after World Championships withdrawal

The Dane revealed the news on social media on Tuesday evening, saying the decision to part ways was made on amicable terms

Related