HEADLINES

Ancaman bom: KPM pandang serius, jamin keselamatan institusi kelolaannya

Kementerian itu mengadakan kerjasama erat dengan PDRM bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru serta murid dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara

6:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa semua institusi kelolaannya dipastikan selamat, termasuk berhubung isu ancaman bom di beberapa sekolah seperti dilaporkan media.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengadakan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan institusi berkenaan.

“KPM mengambil perhatian ancaman keselamatan di beberapa sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat seperti dilaporkan media.

“KPM memandang serius isu ini dan sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid serta seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya,” katanya.

Pada masa sama, KPM menegaskan, semua institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan diminta mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan.

Sebarang ancaman keselamatan, katanya, perlu dilaporkan segera kepada PDRM dan KPM.

Ujarnya, institusi pendidikan juga perlu mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“KPM komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru serta murid dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

Ancaman berkenaan dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama ‘taktstorer’ yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pula berkata, sembilan sekolah antarabangsa di Lembah Klang turut dilaporkan menerima ancaman bom, semalam, iaitu membabitkan tujuh sekolah antarabangsa di Selangor dan dua di ibu negara.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengesahkan e-mel ancaman bom di sembilan sekolah tersebut adalah palsu dan dihantar bagi mendatangkan kegusaran kepada pihak pengurusan institusi pendidikan itu serta ibu bapa.

Justeru, katanya, pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan tidak panik sekiranya menerima e-mel yang menyatakan ada ancaman bom di sekolah.

Menurutnya, pihak terbabit perlu melaporkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, sekali gus untuk mengelakkan timbul kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat berkenaan.

Terbaharu, polis mengesahkan menerima satu lagi laporan ancaman bom di sebuah sekolah antarabangsa di Kajang, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asistan Kominisoner Mohd Zaid Hassan berkata, emel ancaman bom itu bertarikh 21 November, namun hanya disedari pihak sekolah awal pagi ini.

Pemeriksaan dan siasatan lanjut, katanya, sedang dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan unit anjing pengesan K9 dikerah untuk tindakan keselamatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis percaya ancaman bom berkenaan adalah palsu. – 22 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related