HEADLINES

Runtuhan gudang: 3 maut, 2 parah, 4 masih terperangkap

Siasatan awal mendapati ia berpunca apabila rasuk sepanjang 12 meter dengan berat 14 tan di lokasi itu jatuh dan terlanggar rasuk lain

7:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut dalam runtuhan bangunan logistik dalam pembinaan di Tapak Pembinaan Bangunan DHL berhampiran LKIM, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad berkata, jumlah itu disahkan setakat jam 1.40 pagi ini.

Katanya, dua daripada mangsa terbabit maut di lokasi kejadian, manakala seorang meninggal dunia di hospital dan dua pekerja yang parah dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Empat lagi mangsa dikhuatiri masih tertimbus, justeru kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pada masa ini, pelbagai agensi dengan kekuatan seramai 80 anggota sedang berusaha mengeluarkan empat lagi mangsa yang terperangkap,” katanya kepada media.

Mohamad Usuf berkata, siasatan awal mendapati rasuk sepanjang 12 meter dengan berat 14 tan di lokasi itu jatuh dan terlanggar rasuk lain.

“Ia mengakibatkan 14 rasuk jatuh dan menimpa pekerja yang berada di bawah.

“Setakat ini kita kenal pasti mangsa yang terbabit adalah warga Bangladesh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, TS Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menggunakan bantuan jentera kren bagi mengalihkan rasuk untuk mengeluarkan empat mangsa terperangkap.

“Kawasan dikenal pasti adalah seluas gelanggang bola keranjang dan operasi ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa terperangkap dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Operasi Bomba Jalan Perak, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.58 malam tadi berhubung kejadian berkenaan.

Menurut laporan, 18 orang warga asing dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan itu.

Selain JBPM, pelbagai agensi dilaporkan terbabit dalam usaha itu, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Difahamkan, bangunan sedang dalam pembinaan itu membabitkan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang menempatkan pejabat, ruang parkir dan gudang. – 29 November, 2023

Topics

 

Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related