KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi telah dibatalkan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurutnya, pembatalan itu susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan sebahagian besar tarif yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.
“Ini bukan ditangguhkan. Ia batal dan tidak sah. Mahkamah Agung AS telah memutuskan bahawa jika mahu mengenakan tarif, mereka mesti mempunyai alasan,” katanya, lapor NST Online.
“Jika mereka mendakwa ia kerana lebihan perdagangan, mereka mesti nyatakan industri yang terlibat. Mereka tidak boleh mengenakan tarif secara menyeluruh,’’ kata selepas mengagihkan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada pengundi di kawasan beliau.
Menurutnya, AS kini bergantung kepada Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang membenarkan tarif sementara, seperti kadar 10 peratus yang diumumkan oleh Trump.
Langkah interim ini mungkin diikuti dengan semakan di bawah Seksyen 301, yang membolehkan AS menyiasat tindakan, polisi atau amalan luar negara yang dianggap diskriminasi atau membebankan perdagangan Amerika.
Johari menekankan beberapa bidang yang berpotensi disiasat, termasuk penjualan produk di bawah harga pasaran (dumping) berkaitan kapasiti berlebihan, dakwaan penyalahgunaan dalam pengilangan seperti buruh paksa atau kanak-kanak, pelanggaran alam sekitar dan subsidi eksport yang menjejaskan persaingan.
Syarikat yang tidak mematuhi boleh menghadapi sekatan eksport, manakala negara yang gagal menangani amalan ini mungkin dikenakan tarif lebih tinggi.
Sektor eksport utama Malaysia yang berpotensi terjejas termasuk elektrik dan elektronik, minyak dan gas, serta komoditi perladangan seperti minyak sawit, sarung tangan dan produk berasaskan getah lain.
Johari turut menjelaskan perdagangan Malaysia dengan AS masih signifikan, dengan eksport dianggarkan bernilai sekitar RM233 bilion pada 2025.
“Yang penting ialah apa yang kita lakukan tidak merosakkan alam sekitar, negara atau iklim,” katanya, menekankan kepatuhan terhadap standard buruh dan alam sekitar dalam konteks siasatan AS.
Ditandatangani pada 26 Oktober 2025 semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur bagi sidang kemuncak ASEAN, ART bermatlamat untuk memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-AS, mengurangkan halangan perdagangan, dan menyelaraskan kerjasama rantaian bekalan.
Di bawah perjanjian itu, tarif ke atas barangan Malaysia dikekalkan pada 19 peratus, dengan 1,711 produk menikmati pengecualian tarif.
Namun, keputusan Mahkamah Agung AS telah membatalkan langkah tarif yang menjadi asas sah perjanjian tersebut.
Johari menekankan siasatan AS bukan terhad kepada Malaysia sahaja, tetapi melibatkan kira-kira 60 rakan dagang, termasuk Kesatuan Eropah, di bawah Seksyen 301(b) berkaitan kapasiti berlebihan dalam sektor pengilangan.
Pada fasa awal ketegangan perdagangan, Malaysia berdepan risiko tarif setinggi 47 peratus, yang kemudian dikurangkan kepada 24 peratus.
ART telah menurunkan tarif lebih lanjut dan memberi keistimewaan pengecualian tarif untuk produk Malaysia terpilih dalam sektor elektronik, getah, dan derivatif minyak sawit.
Trump turut menzahirkan rancangan untuk memperkenalkan tarif global 15 peratus bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas pengumuman awal kadar 10 peratus ke atas semua import. – 15 Mac, 2026
