Pupuk ‘Halalan Toyyiban’ dalam keluarga, elak fitnah akhir zaman wajib diutamakan

Sikap itu mampu melahirkan masyarakat sihat jasmani dan rohani, selain bernilai murni

10:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sikap mengutamakan perkara halal dan menjauhi yang haram seperti diwajibkan Islam terhadap umatnya, perlu dipupuk dan diajar kepada ahli keluarga supaya ia menjadi amalan walau di mana mereka berada.

Menerusi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bertajuk ‘Yang Halal Dicari Yang Haram Dijauhi’ hari ini, sikap itu juga perlu dimulakan dari rumah bagi memastikan ia menjadi budaya dalam masyarakat.

“Lakukannya dengan kenali logo halal yang diktiraf bagi memastikan produk dipilih adalah diyakini sebenar-benarnya halal.

“Jadikan amalan ini sebagai budaya dalam hidup kita,” katanya.

Menurut khutbah itu, perkara halal serta haram adalah jelas seperti dinyatakan agama dan di antara keduanya, ada hal kesamaran, iaitu yang tidak diketahui kebanyakan manusia.

“Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran (was-was), sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.

“Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram, jadi jelaslah keutamaan kita perlu mencari yang halal dan meninggalkan yang haram,” katanya.

Jelasnya, sebagai contoh dalam pemilihan restoran, gerai makan, makanan, bahan atau barangan, jika terdapat logo halal sah yang diktiraf kerajaan mahupun logo halal luar negara sah, itulah sepatutnya menjadi pilihan utama umat Islam.

Pada masa sama, khutbah itu memaklumkan, umat Islam sebagai pengguna perlu bijak memilih dalam menggunakan barangan dan memakan makanan halal.

Barangan dan makanan halal itu, katanya, akan menghasilkan kesihatan baik dari segi rohani dan jasmani, selain mendapat pahala serta keberkatan di sisi Allah SWT.

“Namun rugilah golongan peniaga, pengusaha atau usahawan yang sekadar memburu keuntungan dalam bentuk angka, hakikatya mereka rugi sepanjang hayat kerana apa diusahakan sekadar angka besar, tetapi tiada nilai berkat, tiada nilai pahala dan tiada keredhaan di sisi Allah SWT.

“Mudah-mudahan hidup kita, ahli keluarga kita akan lebih baik, berkat, sihat dan selamat di dunia serta akhirat,“ katanya.

Justeru, ia berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mendukung konsep ‘Halalan Toyyiban’, iaitu sesuatu yang halal, bersifat baik atau elok dengan melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing, sama ada di pihak pemerintah, pengusaha serta pengguna.

Bagi memastikan makanan halal dalam negara benar-benar terjamin, kerajaan menggubal undang-undang, enakmen atau akta berkaitan halal, antaranya ialah Akta Perihal Perdagangan 2011, Akta Makanan 1983.

Semua itu bertujuan mengawal dan memberikan kesedaran kepada umat Islam, masyarakat dan peniaga serta pengguna supaya memilih makanan halal, tidak menyalahguna sijil dan logo halal untuk semata-mata mencari keuntungan duniawi.

“Maka beruntunglah golongan peniaga, pengusaha dan usahawan yang berusaha menyediakan makanan halal, mengusahakan barangan halal dan memasarkannya, mereka ini akan mendapat dua keuntungan dalam perniagaan, selain mendapat ganjaran pahala berganda, keberkatan dan keredhaan Allah SWT di dunia serta akhirat,” katanya.

Sementara itu, intipati khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk Waspada Fitnah Akhir
Zaman menegaskan , masyarakat ketika ini berada dalam keadaan ‘fitnah akhir zaman’.

Jika perkara itu tidak dielakkan, ia mampu membawa kesesatan, kecelaruan dan merosakkan nilai murni.

Fitnah dimaksudkan itu bukanlah yang didefinisikan sebagai membuat tohmahan atau tuduhan jahat kepada seseorang.

“Sebaliknya, fitnah ini membawa maksud lebih besar, iaitu ujian, cubaan, kekacauan moral dan kepincangan yang melanda manusia pada akhir zaman sebelum kiamat.

“Fitnah dalam konteks Islam, turut membawa makna luas dalam bentuk ujian dan percubaan yang membabitkan kebenaran dan kesesatan.

“la boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk godaan perkara dunia, kegelisahan hati serta pergolakan dan ketidakstabilan sosial,” katanya.

Khutbah itu berkata, fitnah berkenaan juga membabitkan pengelompokan manusia kepada golongan sesat dan penyelewengan terhadap keimanan.

Dalam konteks situasi semasa, masyarakat menyaksikan pelbagai cabaran sosial, ekonomi dan politik yang memberi kesan terhadap kestabilan masyarakat.

Cabaran itu termasuk penyelewengan moral, penindasan dan penderhakaan terhadap nilai agama yang semakin merebak serta menimbulkan fitnah dalam masyarakat.

“Teknologi dan media sosial turut menjadi wahana penyebaran fitnah yang sukar untuk dikawal. Keterbukaan medan media sosial menyaksikan kebebasan manusia untuk mengulas, melemparkan prasangka jahat dan tuduhan palsu serta ada sebahagian berani mencabar hukum Allah SWT.

“Kerancakkan media sosial juga menyaksikan pertembungan pelbagai maklumat sehingga sukar dipastikan antara yang benar dan batil.

“Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan kepada manusia supaya kembali kepada ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga pesanan Rasulullah SAW yang menekankan kepada kita untuk sentiasa istiqamah berpegang dengan Al-Quran serta hadis supaya tidak tersesat,” katanya.

Justeru, dalam menghadapi fitnah akhir zaman yang semakin mencabar, khatib ingin merumuskan enam panduan kepada seluruh umat Islam.

Pertama, berpegang teguh dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, manakala kedua, mendalami ilmu agama dengan menekuni mailis ilmu bersama ulama yang benar dan ahli ilmu diakui keilmuannya.

Ketiga, kekal istiqamah dalam jemaah kaum Muslimin yang berpegang teguh dengan akidah ahli sunnah wa al-jamaah serta firqah al-najiyah (kumpulan dijamin keselamatannya).

“Panduan keempat, menghafal dan menghayati 10 ayat awal dan akhir daripada Surah al-Kahfi.

“Kelima, memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya dilindungi dari fitnah dahsyat dan tergolong dalam kelompok kebenaran.

“Akhirnya, kita perlu sentiasa memantapkan keimanan dan keteguhan hati dengan ajaran Islam melalui amalan kukuh, kekuatan iman serta kesungguhan dalam mengamalkan nilai agama. Peliharalah hubungan dengan Allah serta dalam masa sama, mengeratkan jalinan ukhuwah Islamiah sebagai jaminan perlindungan dari ancaman fitnah akhir zaman,” katanya. – 8 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Casino a practical source of charity funds, no threat to faith, Tawfik Ismail tells Johor MB

Son of Tun Dr Ismail Abdul Rahman cites work of Noah Foundation using profits from Genting

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related