Penduduk Apartment Idaman rayu kawalan keselamatan dipertingkat selepas kematian tragis Zayn Rayyan

Penduduk mengatakan kawasan tersebut sentiasa selamat sepanjang dia menetap di situ sehinggalah tragedi yang berlaku baru-baru ini

7:29 PM MYT

 

PETALING JAYA – Penduduk Apartment Idaman menggesa Badan Pengurusan Bersama (JMB) agar memperkasakan keselamatan di kawasan itu memandangkan pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, masih lagi bebas.

Mohd Ridhuan Jamaluddin, seorang penduduk yang menetap di Apartment itu lebih 20 tahun, menzahirkan kebimbangan mengenai kes pembunuhan pertama di kawasan itu.

Katanya, memandangkan kematian tragis Zayn, dia bersedia menyumbang dari segi kewangan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu.

“Saya berharap JMB mempertimbangkan untuk mempertingkat dan menaik taraf sistem keselamatan terutama dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) tambahan bagi mengelak tragedi sebegini pada masa hadapan.

“Sistem keselamatan 24 jam dengan pos pengawal akan memberi manfaat. Walaupun saya faham ini kawasan perumahan kos rendah, keselamatan adalah keutamaan. Dengan sistem sedemikian, ia akan meningkatkan keselamatan penduduk dengan ketara.

“Bagaimanapun, memandangkan kekangan kewangan kawasan perumahan kos rendah, kami mungkin memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan peningkatan keselamatan ini,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu menegaskan, kawasan tersebut sentiasa selamat sepanjang dia menetap di situ sehinggalah tragedi yang berlaku baru-baru ini.

“Saya masih kehilangan kata-kata selepas apa yang baru berlaku. Sebagai seorang bapa, mendengar kes sebegini amat membimbangkan.

“Kami pada mulanya menaruh harapan apabila Zayn hilang, tetapi mengetahui kematiannya adalah satu kejutan, terutamanya dengan kanak-kanak kecil. Hakikatnya pelaku yang masih bebas amat membimbangkan,” katanya.

Ketika polis meneruskan siasatan ke atas kematian Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang pada Selasa dan ditemui mati pada malam Rabu lalu, penduduk mencadangkan perlunya peningkatan kawalan keselamatan segera.

Syukri Ibrahim, 36, yang menetap di Blok Q sejak 2006, berkongsi perspektifnya mengenai sistem keselamatan yang semakin merosot sejak 2015.

“Sebelum 2015, sistem keselamatan adalah ‘tip-top’, malah kami mempunyai biro keselamatan kami sendiri. Namun, saya tidak pernah melihat biro yang aktif sejak itu. Sekarang adalah masa terbaik untuk mengukuhkan keselamatan dengan memasang kamera CCTV di setiap bangunan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pengawal keselamatan semata-mata, kerana dia memerlukan rehat. CCTV beroperasi 24 jam, menyediakan pengawasan berterusan. Sistem ini penting untuk keselamatan kita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, penduduk Blok Q mengekalkan tradisi itu dalam memastikan mereka mengenali jiran masing-masing.

“Sesiapa yang berpindah ke Blok Q, kami (penduduk blok itu) berusaha untuk mengenali mereka. Supaya mudah untuk berhubung antara satu sama lain sekiranya berlaku kecemasan.

“Tetapi saya tidak boleh bercakap untuk blok lain, kerana saya tidak pasti bagaimana mereka menguruskan keselamatan blok mereka,” katanya. – 11 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related