HEADLINES

‘Apa tugas saya sebagai Menteri Ekonomi? Saya bina lantai, tangga untuk rakyat Malaysia’: Rafizi

Aset terbaik adalah ilmu, sikap tidak berputus asa, kegigihan mencipta nilai

4:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menggunakan terma ‘lantai’ dan ‘tangga’ bagi menceritakan mengenai peranannya menerajui Kementerian Ekonomi dalam mencipta kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, perkara-perkara yang perlu dirancang dan dilaksanakan adalah perkara struktur yang hanya dirasai kesannya apabila setiap satu reformasi ekonomi itu berjalan dan saling berhubung antara satu sama lain.

“Jadi apa tugas saya sebagai Menteri Ekonomi? Pertamanya, saya bertanggungjawab membina lantai supaya setiap rakyat Malaysia berupaya menjalani hidup yang bermaruah. Di peringkat kerajaan, supaya kedudukan fiskal negara (keberhutangan negara, perbelanjaan pembangunan negara dan seumpamanya) itu kukuh dan mampu melalui sebarang kejutan ekonomi dil uar kawalan kita.

“Inilah fungsi beberapa kerangka utama reformasi ekonomi yang dijalankan setakat ini seperti penghasilan maklumat sosioekonomi yang tepat melalui PADU (Pangkalan Data Utama), usaha membasmi kemiskinan melalui penjanaan pendapatan, penyasaran semula subsidi dan lain-lain. Kesemuanya bertujuan untuk membina lantai yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, tugas keduanya ialah membina tangga supaya anak Malaysia yang berdaya saing berpeluang menaiki tangga itu (tanpa halangan) untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih tinggi bagi dirinya dan negara.

Katanya, yang lemah dilindungi oleh lantai, yang berupaya berpeluang menaiki tangga mencipta kesejahteraan untuk dirinya dan masyarakat.

“Dasar-dasar seperti sektor ekonomi bernilai tinggi (high growth high value/HGHV) daripada peralihan tenaga, digital dan teknologi, pertanian moden, dasar gaji progresif, govtech dan reformasi pasaran kerja adalah komponen-komponen tangga yang dipasang satu persatu.

“Tujuannya untuk membina satu persekitaran ekonomi yang menawarkan peluang baru kepada anak dan syarikat Malaysia yang ingin maju. Itulah fungsi sebuah kementerian yang diberi amanah merencanakan ekonomi. Saya rasa terlalu banyak yang perlu dilaksanakan serentak dan pelaksanaannya itu perlu berlaku secepat mungkin.

“Namun, usaha-usaha ini bersifat jangka sederhana dan panjang, maka wajarlah ia dirancang dan dilaksanakan dengan teliti. Insya-Allah, pengalaman setahun ini memadai untuk memberi gambaran kepada rakyat fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi,” katanya.

Rafizi menambah, beliau dibesarkan daripada keluarga susah dan pelajaran mengenai ekonomi mikro adalah dari ibu bapanya iaitu aset terbaik adalah ilmu, sikap tidak berputus asa dan kegigihan mencipta nilai.

Katanya, sesiapa yang mengusahakan sesuatu dengan sikap-sikap itu (aset yang dimiliki), hidupnya pasti akan senang.

“Maka merancang ekonomi makro pula adalah untuk memastikan dua perkara utama bahawa mereka yang tidak berkeupayaan (atas sebab-sebab yang dia tidak dapat dielakkan) diberikan perlindungan dan bantuan sementara mereka yang berdaya perlu diupayakan agar mereka dapat bersaing mencipta nilai (dengan aset ilmu, sikap dan kepatuhan kepada penciptaan nilai).

“Apa kena mengena semua ini dengan ekonomi? Apa cerita mata wang, harga barang, gaji dan sebagainya? Kerana ekonomi negara itu dibina daripada unit-unit mikro di peringkat individu dan keluarga sementara keupayaan unit-unit mikro ini mencipta nilai ekonomi dipengaruhi oleh dasar-dasar makro yang menjadi sifat ekonomi sesebuah negara,” katanya. – 13 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Related