HEADLINES

AirAsia pajak empat pesawat dikendalikan MYAirline sebelum ini

Daripada empat pesawat itu, dua daripada A320 akan beroperasi pada 15 dan 16 Disember, manakala yang ketiga pada Januari tahun depan

6:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah telah memajak empat pesawat Airbus A320-200 yang sebelum ini dioperasikan oleh MYAirline Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata, AirAsia sebelum ini telah memajak tiga pesawat sebelum pandemik Covid-19 daripada pemajak AirCastle Ltd. Pesawat itu kemudiannya dikembalikan kepada pemajak dan MYAirline memajak pesawat berkenaan.

“Apabila MYAirline menghentikan operasinya, pemajak bertanya sama ada kami mahukan pesawat ini. Kami juga sebenarnya memerlukan kapasiti untuk tahun depan,” katanya kepada Bernama sambil menambah semua proses pemajakan telah selesai setakat ini.

MYAirline menggantung operasinya pada 12 Oktober, 2023 selepas kurang setahun akibat tekanan kewangan. Penggantungan itu bergantung kepada usaha penstrukturan dan permodalan semula.

Daripada empat pesawat itu, beliau berkata, dua daripada A320 akan beroperasi pada 15 dan 16 Disember, manakala yang ketiga akan beroperasi pada Januari tahun depan. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bilakah pesawat keempat akan beroperasi.

Mengenai prospek tahun depan, Bo yakin untuk mengaktifkan semula 204 buah pesawat sepenuhnya, yang disokong oleh tambang penerbangan yang menarik dan lebih baik kerana semakin banyak negara menawarkan kemasukan tanpa visa.

Bo Lingam berkata, AirAsia sebelum ini telah memajak tiga pesawat sebelum pandemik Covid-19 daripada AirCastle Ltd, namun ia sudah dikembalikan kepada pemajak. – Gambar Bernama, 14 Disember, 2023

“Kami berharap untuk kembali semula ke tahap prapandemik dan kesemua 204 pesawat akan terbang menjelang Februari tahun depan.

“Kami mempunyai pandangan yang sangat baik untuk tahun depan dan kami harus melepasi paras (bilangan penumpang) pada 2019 tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga menyatakan AirAsia akan mempunyai tambahan sembilan pesawat A321 baharu dengan 240 tempat duduk tahun depan.

“Tiada lagi pesawat A320 dan semua pesawat baharu ialah daripada jenis A321 selepas ini,” jelasnya.

Beliau juga tidak menjangkakan sebarang penurunan untuk industri penerbangan pada masa ini melainkan terdapat kenaikan mendadak harga bahan api. Beliau juga berharap ringgit mengukuh tahun depan berdasarkan unjuran positif terkini daripada pakar-pakar ekonomi.

Keuntungan bersih bagi industri penerbangan dijangka mencecah AS$25.7 bilion (kira-kira RM120.08 bilion) pada 2024, dengan margin keuntungan bersih 2.7 peratus, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) baru-baru ini.

Ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 2023 yang dijangka mencatatkan keuntungan bersih pada AS$23.3 bilion (RM108.87 bilion) dengan margin keuntungan bersih 2.6 peratus.

IATA juga berkata, kira-kira 4.7 bilion individu dijangka melakukan perjalanan pada 2024, angka tertinggi yang melebihi paras prapandemik iaitu 4.5 bilion individu pada 2019.​ – 14 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

10 filem patriotik pasukan beruniform tanah air ini wajib ditonton!

Harus diakui bahawa Malaysia masih lagi kekurangan filem-filem bergenre kenegaraan yang mampu membangkitkan semangat nasionalisme dan jiwa patriostisme rakyat terhadap negara yang berjaya bebas dari cengkaman penjajah sejak 66 tahun lalu

Related