Himpunan Kebangkitan Rakyat: 20 NGO kecam AS guna kuasa veto tolak gencatan senjata di Gaza

Tindakan itu dianggap sangat melampau dan tidak berperikemanusiaan, memandangkan hingga kini lebih 19,000 nyawa terkorban akibat pengeboman Israel di Gaza dan Tebing Barat

6:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) hari ini, mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat Malaysia di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, bagi mengecam tindakan negara berkenaan menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi gencatan senjata segera di Palestin.

Himpunan itu juga bagi menyatakan bantahan, penolakan dan penentangan rakyat negara ini, terhadap tindakan AS menyokong kekejaman Israel yang terus-terusan menyerang rakyat Gaza.

Setiausaha Sejagat SPM, Syed Sheikh Syed Mustafa berkata, tindakan itu dianggap sangat melampau dan tidak berperikemanusiaan, memandangkan hingga kini lebih 19,000 nyawa terkorban akibat pengeboman Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Gelagat peserta yang cukup kreatif dilihat mengusung keranda beserta lambang Zionis dan bendera Amerika Syarikat di Himpunan Kebangkitan Rakyat Malaysia di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini. – Gambar Sairien Nafis/Scoop, 15 Disember, 2023

“Kita mahukan satu genjatan senjata, iaitu kata putus daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan dengan mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai orang awam yang tidak berdosa.

“Kita meminta kepada seluruh negara Islam, negara Arab dan negara di dunia yang membela Palestin untuk bertindak lebih keras terhadap Israel dan AS, dengan menekan mereka supaya mengadakan gencatan senjata di Gaza,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, mengambilkira pergolakkan semakin parah di Tebing Barat, Jeruselem dan Gaza, Palestin, ia kini melebihi krisis biasa.

Kesengsaraan warga Palestin di Gaza, katanya, diabai dunia sehingga rakyat di sana sedang menghadapi maut setiap detik.

Ujarnya, Israel mengganas di Gaza dengan mengetepikan semua perundangan antarabangsa termasuk genosid dan jenayah perang.

Presiden Sejagat Malaysia, Syed Sheikh Alattas ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Kebangkitan Rakyat Malaysia di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini. – Gambar Sairien Nafis/Scoop, 15 Disember, 2023

“PBB gagal bertindak akibat AS menggunakan kuasa veto sehingga memberi laluan kepada Israel menggunakan senjata bekalan AS untuk melakukan pembunuhan massa dan genosid berskala besar di Gaza.

“Dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat Malaysia menolak veto AS di PBB, ia harus menjadi detik menzahirkan desakan menghentikan perang Gaza serta merta. Rakyat Malaysia harus bangkit sebagai respon tegas mengutuk Israel dan menuntut perang segera dihentikan serta gencatan senjata kekal dikuatkuasakan serta-merta,” katanya.

Tegasnya, penderitaan di Gaza terlalu parah yang sedang disaksikan seluruh masyarakat dunia tanpa boleh berbuat apa-apa.

“Dalam perang Gaza itu kadar seorang kanak-kanak mati (adalah) setiap 10 minit, 35 hingga 40 orang mati setiap satu jam, 115 kanak-kanak mati dan 300 hingga 400 mati setiap hari.

“Ia sudah cukup menyentuh (hati) rakyat Malaysia untuk tidak berdiam diri. Semangat kebersamaan dan berpegang kepada prinsip keadilan dan hak,” katanya.

Di saat ini, ujarnya, sentimen dan emosi rakyat Malaysia perlu bersama dengan perjuangan muqawamah rakyat di Gaza atas dasar kemanusiaan serta persaudaraan insaniyyah.

“AS bertanggungjawab penuh atas pertumpahan darah di Palestin saat ini. Kami menuntut masyarakat antarabangsa menjauhi sikap hipokrit AS dan kejahatannya mendukung kekejaman rejim zionis Israel,” katanya.

Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahanan Al Aqsa, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat Malaysia di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini. – Gambar Sairien Nafis/Scoop, 15 Disember, 2023

Manakala, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahanan Al Aqsa, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang berkata, apa yang berlaku hari ini menggambarkan segala perbadanan dunia antarabangsa, seperti sudah tidak berguna.

Selama ini, katanya, Israel tidak pernah mematuhi segala keputusan Majlis Keselamatan PBB dan pertubuhan itu seolah-olah tidak lagi dihormati AS.

Justeru, beliau berkata, PBB seharusnya dibubarkan, sekali gus Majlis Keselamatan PBB atau sekurang-kurangnya kandungan memorandum yang dihantar pihaknya kepada PBB supaya Israel dipecat menganggotai badan dunia itu.

“Ini kerana Israel memang tidak mematuhi keputusan PBB. Bagi Zionis tiada undang-undang. Sekarang AS pula yang mengetuai untuk menolak keputusan PBB dengan kuasa veto.

“Jika memveto keputusan Majlis Keselamatan PBB itu biasa, berapa kerat ahli di situ, tetapi soalnya sekarang keputusan Setiausaha Agung badan mendukung keputusan majoriti hampir 100 negara untuk mendesak supaya diberhentikan serangan pengeboman Israel terhadap Palestin atau gencatan senjata,” katanya.

Peserta perhimpunan tidak berganjak walaupun hujan lebat. – Gambar Sairien Nafis/Scoop, 15 Disember, 2023

Pada masa sama, Syekh Ahmad berkata, pihaknya mengharapkan pihak NGO sentiasa melakukan desakan seumpamanya.

“Kita perlu menonjolkan kepada dunia bahawa kita di Malaysia, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menolak kekejaman dilakukan Israel di AS, di sebalik majoriti rakyatnya menentang keputusan Presiden AS Joe Biden,” katanya. – 15 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related