Tanah runtuh: Cerucuk besi solusi sementara, perlu segera rangka penyelesaian kekal

Bagi memastikan struktur tanah di situ benar-benar kukuh, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera bertindak dengan merangka pelan jangka panjang

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemasangan cerucuk besi di lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong adalah solusi jangka pendek atau penyelesaian sementara bagi memperkukuhkan semula struktur tanah di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Bagi memastikan struktur tanah di situ benar-benar kukuh, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera bertindak dengan merangka pelan jangka panjang.

Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM), Abd Rasid Jaapar berkata, pelan mitigasi dengan pemasangan 375 cerucuk besi di kawasan tanah runtuh berkenaan bertujuan untuk menahan pergerakan tanah daripada terus berlaku.

“Cerucuk besi itu adalah untuk tempoh masa sementara bagi menahan pergerakan tanah.

“Untuk jangka masa panjang, dalam kes tanah runtuh di Taman Wawasan ini, pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) perlu segera mencari kaedah mitigasi yang boleh menstabilkan keadaan cerun terbabit.

“Seperti kita tahu, tanah itu ada tekanan dan berat dia, jadi kalau dibiarkan begitu lama-lama, pelbagai faktor yang boleh menolak cerucuk besi terbabit nanti dan disebabkan itulah, ia (pemasangan cerucuk) hanya berkesan sebagai solusi untuk jangka pendek sahaja,” katanya kepada Scoop.

Kerja pemasangan cerucuk dijalankan sebagai langkah mitigasi bagi memperkukuhkan struktur tanah di kawasan tanah runtuh Taman Wawasan – Gambar Facebook MBSJ, 21 Disember, 2023

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Taman Wawasan, Puchong yang berlaku jam 7.30 malam pada Sabtu lalu itu.

Kejadian itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus, iaitu Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Susulan kejadian itu, 29 penghuni di sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan.

Kerja pemasangan cerucuk kemudian dijalankan sebagai langkah mitigasi bagi memperkukuhkan struktur tanah di kawasan berkenaan.

Setakat ini, 121 cerucuk besi sudah dipasang di Jalan 3/9 dan dilaporkan 375 cerucuk besi akan dibina yang dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tiga hingga empat hari lagi.

Pada masa sama, Abd Rasid berharap PBT akan sentiasa memaklumkan kepada penduduk yang terjejas mengenai berapa lama rancangan jangka panjang itu dilaksanakan, bagi meyakinkan mereka mengenai tahap keselamatan di kawasan perumahan terbabit.

“Seharusnya penduduk diberi penerangan berapa lama cerucuk itu akan digunapakai sehingga satu solusi yang kekal dibuat, penduduk perlu tahu perkara itu.

“Kalau MBSJ kata perkara itu untuk sebulan sahaja, lepas itu kerja pembinaan tembok kekal akan dibuat, jadi tiada masalah.

“Bagi melakukan reka bentuk tembok penahanan kekal, mereka (pihak berkaitan) perlu membuat kajian tanah, kena buat reka bentuk dan sebagainya, baru mereka boleh datang dengan satu solusi kekal,” katanya.

Setakat ini, 121 cerucuk besi sudah dipasang di Jalan 3/9 dan dilaporkan 375 cerucuk besi akan dibina yang dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tiga hingga empat hari lagi – Juliana Johar/Scoop, 21 Disember, 2023

Dalam pada itu, Abd Rasid turut berkongsi cadangan antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan insiden tanah runtuh daripada kembali berlaku.

Langkah itu, katanya, adalah dengan mendidik penduduk mengenai ilmu asas berhubung kajian tanah yang terdapat di kawasan terbabit.

Menurutnya, walaupun program itu mungkin membabitkan sedikit kos kewangan, ilmu diperolehi dapat memberikan manfaat besar kepada setiap penduduk.

“Saya lebih suka sekiranya diadakan program atau kursus seperti Community Disaster Management (Pengurusan Bencana Komuniti), terutamanya membabitkan tanah runtuh yang mana sistem pengurusan bencana itu dikepalai komuniti di situ.

“Menerusi program terbabit, PBT berperanan mendidik penduduk untuk memantau cerun di kawasan perumahan sendiri dan perkara ini, boleh dilaksanakan selepas ia mengenal pasti lokasi yang mempunyai risiko besar mengalami bencana sama.

“Jadi dengan adanya pemantauan penduduk juga, ia dapat sama-sama membantu memerhati kawasan berisiko tinggi terbabit dan sekiranya ada pergerakan tanah luar biasa dikesan, penduduk boleh cepat-cepat membuat aduan kepada PBT, sekali gus langkah pencegahan dapat dilakukan segera sebelum insiden buruk berlaku,” katanya. – 20 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Severe turbulence: Singapore Airlines flight makes emergency landing in Bangkok, one dead, 30 injured

The Boeing 777 flying in from London was forced to land at Suvarnabhumi Airport, Bangkok, 3.45pm local time

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related