Pesawah tegur Bernas ‘jangan hanya tumpu jadi pembeli akhir, perlu cekap keluar benih padi’

Selain menjadi pembeli akhir, Bernas juga sepatutnya membantu dalam mengeluarkan benih padi berkualiti untuk pesawah

8:00 AM MYT

 

TANJONG KARANG – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diminta supaya tidak hanya menumpukan usaha menjadi pembeli akhir padi, sebaliknya perlu lebih cekap dalam memenuhi obligasinya terutama menyediakan dana bagi stok penimbal benih padi negara.

Pesawah Kampung Blok, Aizat Zubir, 34, berkata, rata-rata golongan pesawah masih merungut dengan masalah benih padi sah yang masih berlarutan, termasuk kurang berkualiti dan bercampur benih tanaman lain.

Pesawah, Aizat Zubir meminta pihak berwajib memantau lebih rapi pengeluaran benih di setiap kilang yang menerima subsidi benih supaya ada jaminan kualiti benih terbaik dibekalkan dan tidak bercampur dengan benih rumput atau sayur – Azim Rahman/Scoop, 27 Disember, 2023

“Kami dapat benih yang kurang berkualiti, beg benih subsidi kerajaan, ada benih kangkung, benih keladi, padi angin, hampa bercampur, macam mana kami nak hasilkan pengeluaran padi beras yang maksimum.

“Tak dinafikan padi benih berkurang, padi beras pun berkurang, pesawah dari negeri lain berebut untuk dapatkan benih padi yang berkualiti yang menjamin hasil tinggi.

Proses menyembur benih padi di bendang sawah. Pengeluaran padi beras menjadi kurang apabila kualiti benih yang diberikan tidak memuaskan – Azim Rahman/Scoop, 27 Disember, 2023

“Cumanya, pemantauan lebih rapi pengeluaran benih di setiap kilang yang menerima subsidi benih perlu dilakukan pihak berwajib.

“Ini supaya ada jaminan kualiti benih terbaik dibekalkan, tak mahu ada benih rumput dan benih sayur turut bercampur,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau yang juga pesawah generasi ketiga berkata, Bernas masih dilihat tidak efisyen dalam melaksanakan obligasi mereka terutama membabitkan bantuan bencana kepada pesawah.

Suasana bendang di Tanjung Karang, Selangor. Bernas akan beri pinjaman antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk memulakan kerja-kerja menanam, hasilnya nanti dijual kembali kepada mereka – Azim Rahman/Scoop, 27 Disember, 2023

Katanya, setakat ini pesawah di kawasan itu belum menerima apa-apa bantuan bencana daripada Bernas, kecuali pembiayaan untuk penjualan akhir padi.

“Contoh kita ada satu lot, Bernas akan beri pinjaman antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk memulakan kerja-kerja menanam, hasilnya nanti dijual kepada mereka.

“Tapi macam mana kita nak jual kepada Bernas sedangkan harga yang diambil murah, sebab itu ada pesawah yang jual kepada pihak swasta pada harga lebih tinggi.

Bernas sepatutnya ‘berusaha’ untuk meningkatkan kadar harga bagi pembelian akhir padi. Kerajaan membeli padi pada harga RM1,300 per tan manakala ada syarikat swasta lain boleh beli pada harga RM1,600 hingga RM1,700. – Azim Rahman/Scoop, 27 Disember, 2023

“Kalau Bernas mampu bayar pada harga lebih tinggi, pesawah tak akan lari jual kepada swasta,” katanya.

Sementara itu seorang lagi pesawah, Fadzli Arsad, 55, berkata, selain menjadi pembeli akhir, Bernas juga sepatutnya membantu dalam mengeluarkan benih padi berkualiti untuk pesawah.

“Kos (pengeluaran padi) semakin meningkat tinggi, kalau boleh kita minta selain Bernas beli padi, kita mahu mereka juga mengeluarkan benih padi yang berkualiti untuk petani.

Pesawah, Fadzli Arsad, juga meminta Bernas mengeluarkan benih padi yang berkualiti untuk petani, memandangkan kos pengeluaran padi semakin meningkat – Azim Rahman/Scoop, 27 Disember, 2023

“Itu yang sebaiknya, kalau tidak, kerajaan perlu beri kebenaran kepada pesawah untuk keluarkan benih padi mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan kadar harga bagi pembelian akhir padi, Bernas sepatutnya ‘berusaha’ untuk meningkatkan harga belian itu.

“Sekarang ini Bernas tertakluk kepada kerajaan, harga belian padi RM1,300 per tan, kalau ada syarikat swasta lain boleh beli pada harga RM1,600 hingga RM1,700, kenapa tidak kerajaan ambil inisiatif tingkatkan harga itu sebagai harga lantai.

“Bernas perlu pastikan beras tempatan juga ada di pasaran, jangan disorok atau ditukar beg atau dicampur bagi dijadikan beras import,” katanya.

Fadzli berkata, Bernas juga perlu memastikan tanggungjawab sosial mereka dalam soal bantuan bencana pesawah turut diutamakan.

“Seperti musim dua penanaman padi (sekitar Julai) ada pesawah yang terkena ribut, tanaman padi rosak, dekat 300 pesawah, tapi sehingga kini belum ada keputusan sama ada bantuan akan dapat atau tidak.

“Kadang-kadang petani ini bukan minta banyak pun, bantuan bencana seorang RM200 atau RM300 pun sudah alhamdulillah, bukan untuk apa, tampung pembelian racun, baja tambahan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Ismail Salleh berkata, isu monopoli industri padi dan beras tidak akan timbul sekiranya Bernas dapat memenuhi 10 obligasi selepas konsesinya bagi pengedaran makanan ruji itu disambung kerajaan sehingga 2031.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya melihat obligasi itu belum sepenuhnya dipenuhi sehingga menimbulkan krisis, antaranya kekurangan beras putih tempatan dan benih padi sah. – 27 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Related