PKR ramai pelapis berpotensi teraju parti, ‘mereka perlu diberi peluang memimpin’

Bagi melahirkan pemimpin hebat, PKR harus memberikan ruang dan kepercayaan kepada pemimpin muda seperti dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim

8:30 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan berjaya membentuk barisan kepimpinan pelapis yang berpotensi, malah tidak kurang hebatnya untuk menerajui parti pada masa hadapan.

Antaranya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang diamanahkan dengan portfolio komunikasi yang merupakan tanggungjawab besar bagi menerangkan agenda Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Fahmi juga adalah Ketua Penerangan PKR, iaitu satu jawatan yang penting dalam parti.

Mengulas mengenainya, ahli PKR, Yusmadi Yusoff berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang memberi ruang dan kepercayaan kepada pemimpin muda dalam parti serta di luar parti yang berpotensi sebagai pemimpin hebat untuk menyertai Kabinet kerajaan.

Kata Yusmadi Yusoff, PKR adalah satu pasukan, gerakan rakyat dan wadah dibina untuk mana-mana bakat hebat, berbeza dengan parti lain yang bersifat sangat feudal atau terlalu hierarki – Gambar X Yusmadi Yusoff, 26 Disember, 2023

“Keadilan berjaya membentuk potensi pemimpin malah ‘at par’ atau tak kurang hebatnya, seperti Rafizi Ramli, (apabila) tahun pertama menjadi Menteri Ekonomi, banyak idea yang beliau lontarkan.

“Bak pepatah melayu, benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau dan yang diperlukannya (adalah) ruang, kesempatan serta kepercayaan.

“Saya lihat Anwar memberi peluang kepada pemimpin muda seperti Fadhlina Sidek, (memegang) portfolio pendidikan yang mencabar, beri peluang kepada Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).

“Bagi saya benih yang baik ini hanya memerlukan peluang dan keyakinan serta bayangkan learning curve ruang pembelajaran bagi mereka itu, saya percaya mereka semua berpotensi,” katanya kepada Scoop.

Anwar dilihat telah memberikan peluang kepada pemimpin muda seperti (dari kiri) Nik Nazmi Nik Ahmad, Rafizi Ramli dan Fadhlina Sidek untuk memegang portfolio yang mencabar – Gambar Scoop, 26 Disember, 2023

Beliau percaya, Anwar yang juga Perdana Menteri seolah-olah sudah membina sekolah kepimpinan masa depan secara amali.

“Saya percaya cabarannya sekarang sejauh mana mereka yang diberi peluang itu, mengambil kesempatan tersebut, mengambil sikap sedikit rendah diri untuk belajar dengan cepat.

“Contoh lantikan Amir Hamzah (Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) dan begitu juga Profesor Zulkifli Hasan (Timbalan Menteri Agama) yang diberi portfolio mencabar, agama budaya amat kritikal, saya percaya mereka ini akan menjadi pemimpin hebat,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, PKR adalah satu pasukan, gerakan rakyat dan wadah dibina untuk mana-mana bakat hebat, berbeza dengan parti lain yang bersifat sangat feudal atau terlalu hierarki.

Perdana Menteri seolah-olah sudah membina sekolah kepimpinan masa depan secara amali. Pelantikan wajah ‘baharu’ seperti (dari kiri) Adam Adli, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Profesor Zulkifli Hasan ke Kabinet adalah buktinya – Gambar Scoop dan Gambar Bernama

“Bayangkan Adam Adli contohnya, baru masuk terus jadi Ketua Pemuda, terus jadi timbalan menteri begitu juga Fadhlina Sidek yang menjadi Ketua Wanita dan kemudian menteri.

“Keadilan (PKR) adalah satu platform untuk bakat hebat, sebab itu saya mengalu-alukan mana-mana masyarakat hebat sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan melihat Keadilan sebagai satu platform kepimpinan untuk membina Malaysia.

“Sebab itu dalam Keadilan semua orang ada peluang, itu terbukti, kita lihat hari ini orang baru seperti K Saraswathy (Naib Presiden), Datuk R Ramanan (Ahli Parlimen Sungai Buloh), baru masuk parti dan menjadi (timbalan) menteri. Itulah parti Keadilan, it’s not about us, it’s about the cause and about the people,” katanya.

Keadilan memberi peluang kepada semua. Datuk R Ramanan dan K Saraswathy adalah dua ahli parti yang kini dilantik menjadi timbalan menteri – Gambar Scoop, 26 Disember, 2023

Menyentuh sokongan orang Melayu, Yusmadi yang juga seorang peguam berkata, peluang berada dalam kerajaan sekarang adalah kesempatan bagi pemimpin masa depan PKR dan pemimpin Umno untuk belajar bermuafakat.

“Untuk bergerak ke depan, kita kena fikirkan satu muafakat model baharu dan tidak keterlaluan kena fikirkan juga federalisme 2.0, memandangkan selama lebih 60 tahun Sabah dan Sarawak dikesampingkan.

“Hari ini Sabah dan Sarawak sudah diangkat dengan sewajarnya, malah Anwar membuktikan pertama kali ada jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Borneo.

“(Jadi) daripada kita membincangkan perkara bersifat perkauman, lebih baik bincangkan potensi anak bangsa (termasuk) dari Sabah dan Sarawak juga satu ketika nanti mampu menjadi Perdana Menteri atau timbalan.

Yusmadi menambah, peluang berada dalam kerajaan sekarang adalah kesempatan bagi pemimpin masa depan PKR dan pemimpin Umno untuk belajar bermuafakat. Anwar dilihat di sini bersama dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof – Azim Rahman/Scoop, 25 Disember, 2023

“Perhatian wajar diberikan kepada dua negeri Borneo itu, bukan sahaja soal kemiskinan, malah potensi ekonomi dan saya rasa itu yang sebenarnya perlu difikirkan pemimpin masa depan Keadilan, Umno serta parti di Sabah dan Sarawak, itu akan lebih menguntungkan Malaysia melangkah ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Rusdi Omar berkata, untuk bergerak ke depan, sudah sampai masa politik negara berubah, dengan generasi sebelum merdeka memberi ‘baton’ kepada generasi selepas merdeka.

Ujarnya, jika dikatakan PKR tidak memiliki calon, beliau berpendapat jika dibandingkan dengan parti politik lain, PKR ada calon yang boleh diketengahkan.

Antara calon itu, katanya, adalah Rafizi dan Nik Nazmi, justeru mereka perlu diberikan peluang dan sekiranya memperoleh peluang, individu terbabit akan dilihat sebagai ‘PM material’.

Profesor Madya Rusdi Omar berkata, untuk bergerak ke depan, sudah sampai masa politik negara berubah, dengan generasi sebelum merdeka memberi ‘baton’ kepada generasi selepas merdeka – Gambar laman web UUM, 26 Disember, 2023

“Kalau Rafizi, Nik Nazmi dan ada beberapa lagi calon yang boleh diketengahkan, tak mustahil ‘PM in the making’ boleh dibuat, sebab nak jadi pemimpin ini dia kena dibentuk, dilatih, diasuh baru dia jadi pemimpin.

“Mereka pun bukan calang-calang pemimpin, belajar pun di luar negara, jadi bagilah peluang baru kita tahu sama ada boleh atau tidak memimpin.

“Mereka banyak pengalaman dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada ahli Parlimen, jadi perlu tonjolkan pemimpin muda seperti ini,” katanya. – 24 Disember, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related