Tangguhkan pelaksanaan Padu, pinda terlebih dahulu APDP 2010

Kerajaan tidak cukup sekadar memberi jaminan mulut mengenai data yang dikumpul itu tidak disalah guna atau akan dilindungi

1:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sehingga Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) dipinda.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, pelaksanaan Padu sebelum pindaan APDP mendedahkan orang ramai kepada risiko kebocoran, penipuan dan penyalahgunaan lain.

Malah katanya, memandangkan data yang dAikumpul akan dipusatkan pada satu platform, isu keselamatannya mesti menjadi keutamaan.

“Ketika ini, Seksyen 3(1) APDP mengecualikan kerajaan daripada penguatkuasaannya dan ini bermakna data yang dikumpul oleh Padu boleh disebarkan atau digunakan kerajaan di luar tujuan yang hendak direalisasikan iaitu subsidi bersasar.

“Ada beberapa kes mengenai penyalahgunaan data oleh kerajaan sebelum ini di mana data peribadi digunakan untuk tujuan propaganda. Ia satu kebimbangan data yang dikumpul digunakan untuk tujuan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaid, kerajaan tidak cukup sekadar memberi jaminan mulut mengenai data yang dikumpul itu tidak disalah guna atau akan dilindungi.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Omnibus untuk perkongsian data antara agensi kerajaan dalam PADU.

“Mengapa RUU itu tidak dilaksanakan atau dikuatkuasakan sebelum pelancaran sistem Padu?

“Tanpa pindaan dibuat sebelum pelancaran Padu, orang ramai rasa tidak yakin data mereka akan dilindungi daripada penyalahgunaan oleh kerajaan atau individu tidak bertanggungjawab yang pastinya menyasarkan data besar-besaran ini.

“Ia jenayah yang meluas sekarang ini dan pelik apabila kerajaan meneruskannya tanpa membetulkan undang-undang,” katanya.

Semalam bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kin Ming menyarankan kerajaan menangguhkan proses pendaftaran sistem Padu buat sementara waktu sehingga beberapa kelemahan keselamatan diatasi.

Dakwa beliau, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran Padu termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah tersedia dalam pangkalan data sistem berkenaan.

Padu dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Hasil daripada komitmen dan kesungguhan semua yang terbabit, Padu dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.

Padu akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu. – 4 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Casino a practical source of charity funds, no threat to faith, Tawfik Ismail tells Johor MB

Son of Tun Dr Ismail Abdul Rahman cites work of Noah Foundation using profits from Genting

Zus Coffee in hot water over ‘one-off activity’ with under-boycott Adidas

Coffee chain company issues apology and says it was not a collaboration, vowing to be more careful and asserting it 'unequivocally condemns any acts of violence against humanity'

Related