Keadaan sekarang ‘kurang seronok’, pendidik harap bilik guru dinaik taraf

Suasana bilik guru yang selesa memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood 'gembira' kepada guru dalam melaksanakan tugasan mereka

11:25 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan menaik taraf tandas sekolah, warga pendidik mengharapkan Kementerian Pendidikan (KPM) menambah baik bilik guru yang berada dalam keadaan daif, sesak dan panas.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, penambahbaikan perlu dilaksanakan memandangkan bilik guru di kebanyakan sekolah di bawah seliaan KPM dalam keadaan kurang ‘menyeronokkan’, termasuk penyaman udara kerap rosak.

“Saya sangat bersetuju selepas kejayaan menaik taraf tandas pelajar, bilik guru pula wajar diberi tumpuan agar suasana pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan baik.

“Paling ketara aircond (penyaman udara) lebih banyak rosak daripada berfungsi. Ia menyebabkan berlaku pembaziran bil elektrik bulanan kerana kita masih lagi menggunakan aircond rosak daripada menggantikan yang baru.

“Kalau boleh semua bilik guru di sekolah dilengkapi aircond. Di mana-mana kementerian lain pun, aircond wajib ada dalam pejabat mereka. Jadi saya harap KPM dapat memberikan perhatian mengenai perkara itu,” katanya kepada Scoop hari ini.

Dalam pada itu, Juhari turut berharap agar kerajaan dapat menyediakan ruang rehat untuk guru melepaskan lelah seketika selepas selesai mengajar.

Menurutnya, ruang itu perlu diwujudkan bagi memudahkan guru saling bertukar pendapat selepas seharian sibuk mendidik anak murid.

“Kalau boleh, saya minta kerajaan dapat beri peruntukan untuk diwujudkan satu ruang rehat di bilik guru. Tak perlu terlalu fancy (mewah) pun tak mengapa.

“Jika tidak keterlaluan permintaan ini, mungkin boleh disediakan pantri dilengkapi mesin kopi seperti kementerian lain. Kalau dapat peruntukan tambahan untuk diberikan kerusi urut, ia mungkin bermanfaat untuk melegakan seketika kepenatan guru,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berpendapat, suasana bilik guru yang selesa memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood ‘gembira’ kepada guru dalam melaksanakan tugasan mereka.

Beliau berkata, selain tandas, bilik guru sewajarnya diberikan perhatian agar warga pendidik tidak lagi bekerja dalam keadaan tidak selesa serta kepanasan.

“Bagi saya, amat penting untuk upgrade (naik taraf) bilik guru kerana guru memerlukan satu persekitaran yang kondusif untuk berehat dalam waktu senggang antara kelas.

“Antara perkara yang perlu dilihat ialah kemudahan penyaman udara serta pihak PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) perlu sentiasa turun padang melihat keadaan kipas dalam bilik guru atau bilik darjah yang sudah rosak agar dapat diganti dan dibaik pulih segera.

“Kita perlu memastikan guru dan anak murid sentiasa berasa dalam keadaan selesa dan ceria setiap kali mereka pergi ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azimah turut mengharapkan KPM akan sentiasa menawarkan kursus latihan kepada guru agar mereka sentiasa bersedia meningkatkan kualiti pengajaran dari semasa ke semasa.

“Training (Latihan) ini tidak hanya dihadkan kepada golongan pendidik muda tetapi turut melibatkan guru yang sudah lama dalam industri. Ini kerana sistem pengajaran sekarang sudah berubah dengan penggunaan gajet untuk memudahkan proses pembelajaran.

“Jadi, bagi saya training (latihan) ini pun sama mustahak. Apa guna kita beri tempat cantik untuk guru tetapi kementerian tidak mempunyai belanjawan mencukupi untuk diadakan training tersebut,” katanya. – 5 Januari, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related