HEADLINES

Peranan media diperlukan untuk tangkis berita palsu disebarkan ‘wartawan segera’

Media berperanan menyampaikan laporan benar dan tepat berdasarkan etika kewartawanan, bagi menangkis lambakan berita palsu di luar sana

8:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peranan media pada masa kini adalah lebih penting berbanding dahulu, susulan kemunculan lambakan ‘wartawan segera’ seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood berkata, antara peranan itu adalah menyampaikan laporan benar dan tepat berdasarkan etika kewartawanan, bagi mengelakkan serta menangkis sebarang berita palsu disampaikan golongan tidak bertanggungjawab.

“Dengan kebanjiran netizen yang sekarang ini pun dah boleh jadi ‘wartawan segera’, mereka selalu sebarkan cerita yang kadangkala kita sendiri tak tahu kesahihannya dan di sinilah peranan media diperlukan.

“Kita masih mengharapkan kepada pihak media bagi menyampaikan laporan berita yang tepat, sahih dan beretika bagi menangkis lambakan berita palsu di luar sana,” katanya pada Kursus Profesional Development Series (PDS) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, hari ini.

Kursus anjuran National Press Club (NPC) itu dihadiri 40 pengamal media dari pelbagai agensi berita dan penuntut jurusan kewartawanan.

Siri kedua PDS itu memberikan fokus terhadap modul topik Kawalan Kendiri Kandungan Berita yang menjadi ‘ramuan penting’ etika kewartawanan, dengan penerangannya disampaikan Mediha.

Dalam pembentangannya, Mediha turut menekankan aspek Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia 2022 yang memberikan panduan terhadap standard kawal selia kandungan berita dibenarkan, agar ia sentiasa menjadi rujukan kepada pengamal media profesional di luar sana.

Sementara itu, Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan berpendapat, semua wartawan perlu bijak mengawal selia kandungan berita yang ingin dilaporkan agar dapat terus memartabatkan industri media tempatan.

Menurutnya, dengan penganjuran PDS, ia dapat memberikan panduan serta menambah pengetahuan pihak media berhubung perkara terbabit yang menjadi satu daripada nadi kepada corak pemberitaan tepat, telus dan benar.

“Menerusi sesi diadakan ini, PDS menawarkan panduan terhadap peruntukan Kod Kandungan utama, sekali gus melengkapkan wartawan dengan pengetahuan diperlukan untuk mengemudi peraturan kendiri secara berkesan kerana ia berkaitan dengan piawaian industri.

“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan kongsi untuk NPC PDS, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Content Forum, IPPTAR, Pusat Pengurusan Krisis, Dataxet Nama dan Telum Media bagi sama-sama menjayakan program ini,” katanya.

Selain Mediha, antara penceramah kursus itu adalah Ketua Bahagian Penyiasatan MCMC, Akmal Hamdy Baharudin; Pengasas Pusat Pengurusan Krisis, Nordin Abdullah; Penerbit Bernama TV, Gerard Ratnam dan Pengarah Urusan Dataxet Nama, Chris Seto.

NPC PDS akan dianjurkan 10 siri dengan membabitkan penyertaan daripada lebih 300 pengamal media dari seluruh negara.

Siri ketiga akan berlangsung pada 16 Januari ini di Hotel Royale Chulan, Damansara, sebelum diteruskan menerusi acara jelajah di Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Malah, kursus itu mendapat sokongan daripada penaja Maxis Bhd, Huawei Malaysia, Cheffaro by Eng Sheng Sdn Bhd, Blackmores (Malaysia) Sdn Bhd, The Gilded Lion Antiques & Art Gallery, West Coast Expressway (WCE) dan Telekom Malaysia Berhad. – 11 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Don’t add fuel to the haze: public urged to stop open burning as air quality dips

Winds from Sumatra carry smoke across west coast as dry spell worsens conditions

Related