HEADLINES

Malaysia akan terus sokong Afrika Selatan heret jenayah kekejaman Israel di ICJ

Israel didesak hormati undang-undang antarabangsa, menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta

5:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang yang diambil negara itu terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ketika ini.

Menurut Kementerian Luar Negeri, sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid, Malaysia menyeru Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta.

Malah katanya, Malaysia mengulangi komitmen untuk memperjuang nasib rakyat Palestin di semua platform dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ melibatkan kes yang difailkan Afrika Selatan terhadap rejim zionis.

“Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ yang diadakan pada semalam dan hari ini.

“Permohonan tersebut yang difailkan pada 29 Disember 2023 adalah berkaitan dengan pencabulan Israel terhadap obligasinya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Konvensyen Genosid) terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Luar Negeri menambah, semasa hujahan lisannya, Afrika Selatan menegaskan kepentingan segera supaya ICJ menetapkan langkah-langkah sementara (provisional measures) termasuk mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta.

Afrika Selatan juga katanya, telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid.

“Hari kedua akan disambung dengan hujahan lisan daripada pihak Israel. Keputusan ICJ berhubung langkah-langkah sementara dijangka akan dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Israel berdepan tuduhan jenayah perang dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) ke atas penduduk Palestin di Gaza ketika ICJ memulakan pendengaran kes yang difailkan Afrika Selatan semalam.

Perang yang sudah berlanjutan selama tiga bulan ini menyebabkan lebih 23,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terkorban, kata peguam kepada mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Menurut PBB, kebanyakan penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta telah kehilangan tempat tinggal dan rejim zionis melakukan pelbagai sekatan termasuk bantuan bekalan makanan, bahan bakar dan ubat-ubatan yang menyebabkan ‘malapetaka’ kemanusiaan.

Melalui kes yang difailkan Afrika Selatan di ICJ, negara itu berhujah bahawa Israel melanggar konvensyen genosid 1948, konvensyen ditubuhkan selepas peristiwa Holocaust, yang menetapkan semua negara perlu mengelak daripada mengulangi jenayah tersebut. – 12 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

Related