NEW YORK – Malaysia menggesa Kumpulan The Hague agar menggerakkan usaha antarabangsa bagi mendesak pelaksanaan embargo senjata dan sekatan ke atas Israel.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga menggesa libat urus yang lebih erat dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi mendesak pelaksanaan embargo dan sekatan itu.
Menurutnya, ia adalah beberapa pendekatan untuk memperkukuh usaha kumpulan itu dalam mengasingkan dan memberi tekanan terhadap Israel supaya menghentikan perang genosid di Gaza.
“Kumpulan The Hague mesti mengumpulkan semua negara yang cintakan keamanan dan menyeru mereka untuk mengenakan embargo senjata yang menyeluruh ke atas Israel, termasuk penggantungan semua perjanjian sedia ada bagi membekalkan barangan ketenteraan dan barangan dwi-guna, seperti teknologi dan jentera berat awam.
“Dengan berbuat demikian, kita dapat menahan alat-alat genosid daripada sebuah negara yang bertekad untuk melakukannya,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan The Hague mengenai Palestin yang diadakan di luar sidang Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), di sini pada Jumaat.
The Hague Group adalah gabungan negara-negara yang komited memperjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin di platform antarabangsa, termasuk di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dalam ucapannya itu, Mohamad turut menekankan kepentingan menjalin kerjasama lebih erat dengan kumpulan lain yang memperjuangkan hak rakyat Palestin, seperti Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak yang Tidak Terpisah Penduduk Palestin serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sambil memaklumkan banyak negara anggota PBB kini telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, beliau menggesa kumpulan itu untuk merebut momentum global yang semakin meningkat bagi menggembleng usaha dan memperhebat gesaan menamatkan ketidakadilan yang lama ditanggung rakyat Palestin.
“Keadaan menjadi sangat terdesak bagi penduduk yang tinggal di Gaza akibat sekatan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel,’’ tegasnya.
Sementara itu, Mohamad memberitahu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuji peranan dan kepimpinan Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab selaku Pengerusi Asean tahun ini.
Penghargaan itu dizahirkan sendiri oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres kepada beliau sewaktu mengadakan pertemuan dua hala bersama pemimpin berkenaan di sela-sela Perhimpunan Agung PBB di sini.
Beliau berkata Guterres juga menyatakan bahawa PBB memberi sokongan penuh kepada Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN.
“Guterres amat menghargai dan memuji peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, malah beliau sendiri menyatakan pada pertemuan tadi, bahawa beliau akan hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Saya juga telah menyerahkan surat jemputan (ke Sidang Kemuncak) daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada Setiausaha Agung PBB hari ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke PBB pada Jumaat.
Menurut beliau, dalam pertemuan itu Guterres turut menzahirkan rasa amat gembira dengan peranan dan pendirian Malaysia dalam isu berkaitan Palestin, termasuk ucapan-ucapan Perdana Menteri yang lantang memperjuangkan isu berkenaan di pentas antarabangsa.
“Guterres berkata apa yang dilakukan Malaysia adalah selaras dengan hasrat beliau selaku Setiausaha Agung PBB dan akan memberikan sokongan dalam apa juga bentuk diperlukan Malaysia dan ASEAN supaya isu Palestin yang disifatkannya melangkaui batasan kemanusiaan akan dapat diselaraskan sebaiknya sehingga tertubuhnya sebuah negara Palestin yang medeka,” katanya. – 27 September, 2025
