KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphos, hari ini, menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lawatan rasmi Brazil dan Afrika Selatan itu mencerminkan keyakinan dunia terhadap kepimpinan Anwar selain dasar luar berprinsip serta progresif.
Beliau berkata, Anwar dan Lula dijangka bertemu pagi ini dan pertemuan itu bakal memperkukuhkan kerjasama ekonomi serta teknologi.
“Selain itu, ia juga bagi menzahirkan perjuangan bersama bagi sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang adil serta mampan,’’ katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri, yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Hubungan Malaysia dan Brazil, kata Tunku Nashrul, mencerminkan keyakinan, semangat kerjasama selatan-selatan demi manfaat bersama dua negara dan rantau.
Ia merupakan lawatan rasmi pertama Lula ke Malaysia, menandakan lembaran baharu dalam hubungan Malaysia–Brazil.
“Hubungan erat kedua-dua negara turut diperkukuh selepas Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro pada Julai lalu.
Sementara lawatan rasmi Ramaphos, kata beliau, memperkukuhkan hubungan bersejarah Malaysia dan Afrika Selatan.
“Malaysia iktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua Afrika dan berhasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta memperkukuh penyertaan sektor swasta.
“Malaysia juga menzahirkan penghargaan kepada kempinan Afrika Selatan yang membawa isu kemanusiaan Palestin ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Ia merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden pada Februari 2018.
Pada 2024, Afrika Selatan disenaraikan sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia di Afrika, dengan perdagangan dua hala berjumlah RM7.82 bilion (AS$1.71 bilion).
Eksport Malaysia ke Afrika Selatan bernilai RM3.84 bilion (AS$0.84 bilion) manakala import berjumlah RM3.98 bilion (AS$0.87 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Afrika Selatan termasuk minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, produk petroleum serta produk elektrik dan elektronik manakala import dari Afrika Selatan terdiri daripada pembuatan logam, produk pertanian seperti buah-buahan segar dan kering serta makanan diproses. – 25 Oktober, 2025

