HEADLINES

13 individu culik lelaki Palestin gagal dapat jamin

Hakim Siti Aminah Ghazali mengarahkan mereka direman sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes

2:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan 12 lelaki dan seorang wanita untuk dilepaskan dengan jaminan atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Hakim Siti Aminah Ghazali mengarahkan mereka direman sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 43, Dody Junaidi, 44, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23; Nidarahayu Zainal, 36; dan Raibafie Amdan, 41; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.

Pada Oktober 2022, mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 September 2022, mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes culik di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, semasa prosiding kes di Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan memohon supaya kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan pada 6 Disember lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tersebut.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dibacakan semula di Mahkamah Sesyen pada 19 Jan lepas dan kesemua mereka yang mengaku tidak bersalah membuat permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan.

Kes itu dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh, manakala peguam Kelvin Sidhu mewakili Edy Ko’im, sementara Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif Bongsu, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul Ismail diwakili peguam Norma Go.

Nidarahayu pula diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah dan Raibafie diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan. – 2 Februari, 202

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related