HEADLINES

Keputusan Lembaga Pengampunan di luar bidang kuasa PM, kerajaan, kata Anwar

"Proses ini perlu dihormati. Ia di luar kuasa Perdana Menteri atau kerajaan, dan saya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu."

9:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan adalah di luar kuasa kerajaan.

Ia berikutan kontroversi susulan pengumuman Lembaga Pengampunan hari ini yang mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada enam tahun, serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam temubual dengan Al-Jazeera hari ini, Anwar berkata, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan itu harus dihormati.

“Proses ini perlu dihormati. Ia di luar kuasa Perdana Menteri atau kerajaan, dan saya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu,’’ kata beliau yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, ketika Lembaga Pengampunan bersidang pada 29 Januari lalu.

“Sudah pasti ada yang menyokong, ada yang tidak. Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa setiap orang yang disabitkan kesalahan boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan,’’ tambahnya.

Lembaga Pengampunan untuk Wilayah Persekutuan terdiri daripada lima anggota iaitu peguam negara, Menteri Wilayah Persekutuan dan maksimum tiga orang yang dilantik oleh Agong.

Pada 28 Julai, 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Presiden Umno itu yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan dengan tuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Najib telah mengemukakan rayuan tetapi ditolak Mahkamah Rayuan. Beliau memulakan hukuman penjara pada hari yang sama dan telah memohon pengampuran Diraja pada 2 September, tahun yang sama.

Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan, masih mempunyai tiga kes yang masih berjalan di mahkamah.

Ia adalah prosiding kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diperingkat perbicaraan, kes pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan penggubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta. – 2 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Horror at Bangkok shopping mall as two Malaysians set on fire in unprovoked attack

A Thai man set fire to the tourists after dousing them with paint thinner, with bystanders quickly intervening to restrain him

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

Related