◉ HEADLINES

Amirudin akan bincang dengan PM jadikan Lembah Klang Raya Zon Ekonomi Khas

Ia bagi memastikan potensi penuh keempat-empat bandar ini dapat direalisasikan sekali gus Selangor mampu kekal sebagai negeri yang terus berdaya maju

2:05 PM MYT

 

KLANG – Selangor akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan supaya Lembah Klang Raya diberikan status Zon Ekonomi Khas.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu akan memberi lonjakan ekonomi kepada empat bandaraya di negeri berkenaan, iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang untuk menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara.

“Saya tidak lihat mengapa Lembah Klang Raya tidak mampu menandingi dan menjadi alternatif kepada Kota Singapura ataupun Greater Seoul dan Greater Tokyo, dengan wujudnya kesalingfahaman dan kerjasama antara kerajaan negeri serta Persekutuan.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri supaya Lembah Klang Raya diberikan status Zon Ekonomi Khas supaya potensi penuh keempat-empat bandar ini dapat direalisasikan.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya semangat optimis serta inovatif, kita berupaya mengekalkan Selangor sebagai negeri terbaik dan terus berdaya maju,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBRK) di sini, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan MBDK.

Baginda berkenan melafazkan perisytiharan MBDK serta mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkuat kuasa 23 November tahun lalu.

Amirudin berkata, Lembah Klang Raya menghimpunkan 3.4 juta penduduk, iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan penduduk di Selangor dan lebih 10 peratus daripada jumlah penduduk negara.

“Meskipun bandar-bandar ini matang, usaha rejuvenasi dan regenerasi kawasan matang dapat menarik pelaburan dalam industri digital serta teknologi tinggi.

“Antaranya kecerdasan buatan (AI), pusat penempatan pusat data serta model bagi sistem pengurusan perkhidmatan kerajaan yang mengalihkan aspek pertindihan serta berteraskan pengurusan mampan,” katanya.

Beliau berkata, sejak sekian lama, Klang terus berkembang menjadi antara pusat ekonomi utama negara, selain daripada pusat pentadbiran, industri, serta pelancongan yang mencerminkan kekayaan lokaliti dan masyarakat berbilang budaya serta fahaman.

“Tambahan kepada itu, Klang adalah pelabuhan ke-12 paling sibuk di dunia dan kedua paling sibuk di Asia Tenggara.

“Apabila bertemu dengan pelabur tempatan dan luar negara, saya seringkali menyebut bahawa Selangor adalah Gateway to ASEAN.

“Selangor adalah pintu masuk ke Asia Tenggara dan Klang dengan pelabuhannya adalah pintu masuk ekonomi Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Klang mempunyai segala asas diperlukan mana-mana bandar untuk terus berkembang secara pesat dan mampan.

“Itu yang mendorong dan meyakinkan pentadbiran negeri bahawa Klang harus, wajar dan mampu mengangkat cabaran untuk menjadi sebahagian daripada gagasan baharu yang ingin dibentuk.

“Usaha ini bagi menjadikan Selangor bukan sekadar negeri paling maju di Malaysia, malah negeri termaju di Asia Tenggara dan antara top 5 di Asia melalui Lembah Klang Raya,” katanya. – 5 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

'Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai,' kata Mohd Khalid

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

[WATCH] A tearful Aidilfitri message from Malaysians to Palestinians

Join us in reflecting on the true meaning of Hari Raya Aidilfitri with heartfelt messages from Malaysians. As we celebrate this joyous occasion, let us not forget those in Palestine who are enduring unimaginable suffering. 

◉ Related