Kes Nik Elin v Kelantan: Kedudukan Mahkamah Syariah kekal utuh, terjamin dalam Perlembagaan: Na’im

Semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam selepas menerima keputusan mahkamah

10:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini kekal utuh dan terjamin dalam Perlembagaan meskipun Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

Menurutnya, sebagai tindakan segera, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes tersebut untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

“Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini. Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, beliau akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Timbalannya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum mengenai keputusan mahkamah hari ini.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon semua pihak bertenang serta tidak melakukan provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam selepas mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini. – Abdul Razak Latif/Scoop, 9 Februari, 2024

“Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara berkaitan.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan melakukan sebarang pindaan atau reformasi undang-undang, ia akan segera dilakukan.

Pada masa sama, katanya, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, akan mengkaji isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Sebahagian daripada 500 orang yang hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini bagi mengadakan solat hajat dan bermunajad. – Abdul Razak Latif/Scoop, 9 Februari, 2024

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya. – 9 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related