HEADLINES

Trio Aman Palestin tiba di mahkamah Shah Alam, berdepan 164 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM85 juta

Suspek dipanggil SPRM semalam untuk soal siasat berkaitan penyelewengan dana awam yang disumbangkan kepada NGO terbabit

9:41 AM MYT

 

SHAH ALAM – Tiga individu yang dikaitkan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin Bhd tiba di kompleks mahkamah pada 8.40 pagi di sini untuk menghadapi 164 pertuduhan pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga mereka ialah Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Sufian Awang Piut dan juga Khairudin Mohd Ali.

Zaik dan Awang menghadapi 161 pertuduhan jenayah pecah amanah, penipuan melibatkan penyerahan harta dan pengubahan wang haram berjumlah RM79,060,601.92.

Khairudin pula didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM6,038,016.60.

Mereka sebelum ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana awam disumbangkan kepada NGO terbabit.

Mereka diiringi oleh kakitangan SPRM, dengan ketiga-tiga tertuduh menaiki kereta berasingan.

Semalam, dilaporkan bahawa ketiga-tiga suspek ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas mereka dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pada Oktober tahun lepas, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menimbulkan keraguan mengenai aktiviti kutipan dana Aman Palestin dan menulis surat kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Perlis memintanya menghentikan kutipan dana untuk Palestin oleh NGO itu di masjid dan surau di negeri berkenaan.

Kira-kira sebulan kemudian, SPRM membekukan 41 akaun bank berkaitan Aman Palestin berjumlah RM15.86 juta sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap dakwaan penyelewengan dalam aktiviti pengumpulan dana NGO itu untuk Gaza.

Agensi itu juga mengeledah premis organisasi tersebut untuk mendapatkan dokumen pengurusan kewangan dan operasi sepanjang lima tahun lalu.

Siasatan awal menunjukkan dakwaan penyelewengan kira-kira RM70 juta, dengan dana itu didakwa dialihkan untuk tujuan selain daripada objektif organisasi.

Pada bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suruhanjaya itu masih menyiasat kebenaran transaksi dan tuntutan Aman Palestin sebelum ini.

Pemimpin Aman Palestin memfailkan semakan kehakiman terhadap agensi antirasuah itu kerana cubaan “berniat jahat” untuk mencemarkan nama baik NGO itu.

Pada 6 Februari, dilaporkan bahawa permohonan Aman Palestin untuk memulakan semakan kehakiman terhadap SPRM akan didengar pada 27 Februari ini.

Ini selepas Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan bantahan terhadap permohonan itu. – 15 Februari 2024

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Related