◉ HEADLINES

Mokhzani mohon tempoh lanjutan isytihar harta: Azam Baki

Sebelum ini Mirzan Mahathir turut memohon tempoh lanjutan isytihar harta dan dibenarkan SPRM

10:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Tan Sri Mokhzani Mahathir telah memohon untuk melanjutkan tempoh sebulan lagi bagi mengisytihar harta seperti dituntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop hari ini.

“Tan Sri (Mokhzani) telah memohon untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta. SPRM akan benarkan tambahan 30 hari lagi,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, SPRM telah menyerahkan satu perintah notis kepada Mokhzani untuk beliau mengisytihar harta di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Ini selepas ahli perniagaan itu dipanggil bagi membantu siasatan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM telah memanggil anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dan siasatan turut dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sumber memberitahu, siasatan dilakukan SPRM terhadap ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai kaitan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.

Katanya, syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara yang ketika itu bapanya merupakan Perdana Menteri (Dr Mahathir).

Pada 18 Januari lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan mengesahkan telah memanggil abang kepada Mokhzani iaitu Mirzan Mahathir ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Mirzan hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Perintah itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Menurut kenyataan SPRM, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan.

Namun pada 17 Februari lalu, Azam mengesahkan SPRM memberi tempoh lanjutan selama 30 hari kepada Mirzan untuk mengisytiharkan harta.

Menurut Azam, lanjutan itu diberikan atas permohonan Mirzan sendiri. – 20 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

Penugasan baharu Shuhaily dalam PDRM belum diputuskan : KPN

Mohd Khalid berkata sebarang tugasan dan tindakan susulan terhadap Shuhaily hanya boleh diambil selepas beliau kembali ke PDRM, namun setakat ini belum ada keputusan dibuat

◉ Related