Penduduk Gaza makan rumpai untuk terus hidup

Rumpai itu yang tumbuh di sekitar Gaza menjadi sajian utama sejak bekalan makanan dibawa masuk ke kawasan berkenaan berkurangan

9:47 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Konflik peperangan antara Israel dan Palestin yang hampir memasuki lima bulan, menyaksikan sumber makanan dalam kalangan penduduk Gaza semakin terhad dan meruncing.

Umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mereka bukan sahaja dikatakan perlu mencatu makanan harian, malah lebih menyedihkan apabila ada antaranya terpaksa makan rumpai dikenali sebagai ‘mallow’ sejak beberapa hari lalu untuk mengisi perut dan memastikan ahli keluarga terus hidup.

Malah, rumpai itu yang tumbuh di sekitar Gaza menjadi sajian utama sejak bekalan makanan dibawa masuk ke kawasan berkenaan berkurangan.

Video dipaparkan agensi berita antarabangsa, Republic World menunjukkan rumpai itu dijual di pasar yang kemudian dibeli penduduk untuk dibawa balik, dimasak dan dimakan bersama keluarga.

Rumpai itu dikatakan mempunyai khasiat perubatan dan tumbuh melata di tanah kering.

Seorang penjual, Um Ayad berkata, orang ramai kelaparan dan hanya rumpai itu yang boleh dimakan untuk kelangsungan hidup.

“Kami petik (rumpai) ini dan menjual kepada penduduk di sini (Gaza), Tiada makanan dan air, semuanya kelaparan,” katanya menerusi video.

Gaza kini berdepan dengan konflik cukup menyedihkan apabila mengalami akses sangat terhad untuk air bersih, makanan dan ubat-ubatan.

Seorang penduduk, Sameer Najjar meluahkan kesedihan dengan memberitahu semakin ramai penduduk Gaza kini hilang atau meninggal dunia susulan peperangan antara kedua-dua negara berkenaan.

“Semoga Tuhan membantu kami (penduduk Gaza) dan menghukum pihak yang melakukan perkara ini.

“Kami memasak setiap hari dalam keadaan tiada gas atau air, tiada makanan, tiada roti.

“Ini menyedihkan, anak perempuan saya bangun tengah malam memberitahu dia mahu makan dan minum, tetapi kami tidak mempunyai apa-apa makanan untuk menyuapnya,” katanya.

Bagi seorang penduduk, Youssef Awadiyeh, keadaan diakibatkan peperanganan itu semakin memburuk dengan rakyat Gaza dipaksa meninggalkan penempatan asal dan bergerak ke sempadan.

“Tiada jarak antara kami dengan kereta kebal (tentera Israel). Kami meletakkan nyawa kami dalam bahaya tetapi apa yang boleh kami lakukan, kami terpaksa mengisi perut anak kami. Kami ada anak yang mahu makan. Lebih baik ada (di sempadan) daripada langsung tiada.

“Adakala kami mengalami jangkitan kerana kekurangan bekalan air bersih, jadi kami rebus rumpai yang mempunyai ciri perubatan dan minum airnya,” katanya.

Manakala, seorang penduduk, Abu Mustafa berkata, rumpai itu adalah satu-satunya makanan yang ada untuk dimakan penduduk.

“Tiada nasi atau apa-apa (makanan) lain, hanya ini makanan yang tinggal. Penduduk datang mendapatkan rumpai ini kerana ia cara paling mudah dan murah.

“Tiada bahan boleh dicampur untuk memasak rumpai ini, jadi penduduk merebus dan meminum airnya.

Sementara itu, portal media antarabangsa, Al-Jazeera melaporkan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza kini berada di ambang kebuluran.

Ia susulan bekalan makanan, air dan gas ke Palestin disekat sejak awal peperangan antara tentera Zionis dengan Hamas, sebelum Israel membuka hanya satu pintu masuk bagi membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza pada Disember lalu.

Sekurang-kurangnya 29,606 penduduk Palestin terbunuh dalam peperangan yang tercetus sejak 7 Oktober lalu itu, manakala 69,737 cedera.

Jumlah kematian penduduk Israel susulan peperangan itu adalah 1,139 setakat ini. – 26 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Controversy continues: Akmal detained upon arrival at Kota Kinabalu airport

Announcing his detention on Facebook today, Umno Youth chief Dr Muhamad Akmal Saleh said he will not budge from his stand over the “Allah”-printed sock issue.

Related