Azmin persoal pengagihan jawatan ahli majlis, minta Sekinchan rujuk ‘pakar formula’ di peringkat Persekutuan

Azmin yang juga Adun Hulu Kelang tidak berpuas hati dengan penjelasan bahawa tiada formula dalam pengagihan jawatan tersebut

1:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh seketika hari ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan isu pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Azmin bertanya adakah kerajaan Selangor akan melaksanakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-15 semalam yang mengesyorkan supaya keanggotaan ahli-ahli majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 peratus golongan professional dan tidak dimonopoli ahli politik.

“Hari ini 28 Februari, sidang akan berakhir 11 Mac belum ada penyelesaian tentang pengagihan jawatan ahli majlis dan ketua-ketua kampung. Baru runding…baru surat pekeliling, masalah di bawah semakin rumit, sama ada di peringkat PBT dan kampung.

“Alasan diberikan tak ada formula. Saya kira Sekinchan boleh rujuk pakar formula di peringkat Persekutuan. Inilah yang menyebabkan saya kira pada pandangan saya, Tuanku Sultan Selangor telah mengeluarkan dua titah.

“Pertama ketika merasmikan Majlis Bandaraya Diraja Klang dan kedua ketika Istiadata Pembukaan Sidang Dewan pagi semalam. Antara titah baginda cukup tegas, mengingatkan PBT agar dapat melaksanakan syor baginda supaya keanggota ahli-ahli majlis terdiri daripada 50 peratus golongan profesional dan tidak dimonopoli ahli politik.

“Jadi persoalan saya, oleh kerana YB (Yang Berhormat) Exco tiada formula, rundingan masih berjalan. YB Menteri Besar belum dapat menyelesaikan. Akhirnya ada persetujuan, tak apalah mereka ambil PBT, Umno ambil kampung. Ini perpaduan apa? Yang menderita rakyat di bawah, pembayar cukai di bawah.

“Soalan saya mudah saya. Oleh kerana Setiausaha Kerajaan Negeri telah keluarkan surat keliling untuk pelantikan ahli majlis dan beberapa peraturan ditetapkan. Apakah kerajaan negeri akan keluarkan satu lagi surat pekeliling dengan mengikat titah baginda? Apakah YB Sekinchan dan negeri sudah bersedia untuk melaksanakan titah Tuanku?” soalnya.

Soalan itu diajukan selepas Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim menjelaskan bahawa tiada formula ditetapkan berkaitan pengagihan jawatan ahli majlis mengikut parti-parti komponen membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan itu berkata, berdasarkan pekeliling dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Seksyen PBT yang berkuatkuasa 1 Sepetember 2021, pembahagian kuota adalah berdasarkan nisbah calon parti dan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu 75 peratus daripada calon parti manakala 25 peratus lagi daripada calon NGO.

“Terima kasih kepada Hulu Klang yang prihatin dengan urusan rumah tangga kerajaan Perpaduan – Barisan Nasional (BN), saya nasihatkan rumah tangga sendiri kena jaga sebelum ada masalah berlaku.

“Tak apa saya cuma nak beritahu ada dua perkara ingin saya beri maklum balas kepada Hulu Kelang. Kita dah selesai ke penghujung hanya tinggal sedikit saja pelantikan. Keseluruhannya dan selesai lebih 90 peratus, ada 23 saja yang kita akan isi secara beransur dan tengok kriteria-kriterianya. Jadi usah khuatir.

“Kita ikut kesesuaian. Ini cara kita, hubungan kekeluargaan yang baik kita bincang. Itu untuk ketua kampung. Usah khuatir, usah kepanasan. Saya menjunjung titah Tuanku tentang cadangan pelantikan ahli majlis. Kita akan perhalusi satu persatu, tak ada masalah. Ini cadangan yang baik, kita perhalusi mengikut kesesuaian peringkat-peringkat tertentu.

“Kita ambil latar belakangnya, profesionalnya… semua. Profesional ini tafsirannya panjang. Bukan setakat engineer (jurutera), bukan setakat lawyer (peguam), bukan setakat doktor, profesional ini pakar motivasi pun golongan profesional juga. Semua akan kita perhalusi,” katanya.

Bagaimanapun, Azmin yang juga Adun Hulu Kelang tetap tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan bertanya sekali lagi sama ada kerajaan negeri akan melaksanakan titah Tuanku.

“Saya tidak mahu definisi apa golongan profesional, siapa mereka? Apakah kerajaan negeri akan melaksanakan titah Tuanku dan bila boleh dilaksanakan?” soalnya.

Suee Lim menegaskan, kerajaan akan meneliti cadangan tersebut secara menyeluruh dan akan melaksanakannya secara berperingkat.

“Usaha khuatir Yang Berhormat, Yang Berhormat pernah jadi Menteri Besar, semua segala urusan kita tak boleh buat terburu-buru. Kena tengok profesionalnya, caranya, gaya pentadbiran kerajaan Perpaduan di Selangor, kita lain. Tak macam setengah tempat main buat saja… (kita) tidak.

“Kita bincang dengan semua komponen, bincang semua SUK, bincang dengan semua pemegang taruh, itu cara kita. Usah khuatir. Kita akan lakukan. Yang Berhormat boleh tanya dari semasa ke semasa,” katanya. – 28 Februari 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related