Skim Perubatan Madani sah diteliti semula untuk tambah baik penjagaan kesihatan rakyat

Penambahbaikan itu tidak mengehadkan akses pesakit kepada penjagaan perubatan, sebaliknya memastikan penggunaan sumber optimum

2:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Skim Perubatan Madani (SPM) yang dilancarkan sebagai projek perintis bagi mengurangkan kesesakan di hospital, diteliti semula bagi melakukan penambahbaikan terhadap penjagaan kesihatan negara supaya lebih mampan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penambahbaikan itu tidak bertujuan untuk mengehadkan akses pesakit kepada penjagaan perubatan, sebaliknya lebih kepada memastikan penggunaan sumber optimum untuk meningkatkan keberkesanan dan kemampanan projek tersebut.

Katanya, entiti korporat dimiliki penuh Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu PHCorp yang bertanggungjawab mengendalikan program berkenaan, sudah memulakan penambahbaikan SPM dengan memberikan keutamaan kepada daerah tertentu berdasarkan kekerapan kesesakan pesakit dan trafik di Jabatan Kecemasan.

“PHCorp juga sedang berusaha untuk memastikan peralihan lancar, mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat awam dan klinik yang berdaftar berhubung perkara ini serta menyelesaikan tuntutan tertunggak bagi pesakit sudah menerima rawatan.

“Pemilihan daerah untuk pelaksanaan SPM juga akan mencerminkan pengagihan sumber yang adil, tapa meminggirkan negeri-negeri separa bandar termasuk di Pantai Timur, Utara, dan Timur Malaysia.

“Pesakit dengan penyakit ringan di luar daerah yang terpilih masih boleh mendapatkan rawatan di klinik Kesihatan (KK) dan zon hijau hospital, dengan masa menunggu panjang biasanya tidak menjadi masalah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, langkah penambahbaikan itu selaras perbincangan berterusan di Parlimen dan liputan media berkenaan usaha KKM untuk menambah baik SPM, dengan fokus utama adalah pada kapasiti kewangan dalam mengekalkan pelaksanaan di seluruh negara.

Namun, katanya, KKM mendorong perspektif lebih halus bagi memberikan pertimbangan terhadap objektif asal skim terbabit, selain inisiatif peningkatan penjagaan kesihatan lebih luas yang dilaksanakan secara serentak oleh kementerian berkenaan.

Malah, Dr Dzulkefly berkata, adalah penting untuk tidak mengabaikan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan KKM sepanjang tempoh pelaksanaan SPM.

“Kebanyakan KK di seluruh negara sudah meningkatkan kapasiti perkhidmatan waktu tambahan yang sedia ada, (iaitu) beroperasi sehingga 9.30 malam pada hari biasa dan dari 9 pagi hingga 1 petang pada Sabtu.

“Enam KK yang terpilih, turut menyediakan perkhidmatan setengah hari tambahan pada Ahad dan cuti umum berdasarkan projek Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR),” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, di bawah program itu, KKM sudah menambah baik perkhidmatan jabatan kecemasan hospital dengan memobilisasikan kakitangan perubatan secara strategik bagi memantapkan tenaga kerja di bahagian berkenaan.

“Sebagai hasil daripada pelbagai strategi ini, lebih 95 peratus hospital berjaya memberikan penjagaan perubatan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus pesakit zon hijau dalam masa dua jam, sekali gus memenuhi petunjuk prestasi utama 100 hari ditetapkan untuk Menteri Kesihatan.

“KKM merakamkan setingg-tinggi penghargaan kepada semua klinik perubatan am swasta (GP) atas penyertaan aktif mereka dalam SPM. Sejajar dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan (HWP), KKM komited untuk memperkukuhkan kerjasama awam-swasta dalam pelbagai aspek.

“Sementara projek ini diperhalusi, KKM juga menghargai kerjasama dan persefahaman rakyat Malaysia yang mengiktiraf kepentingan penggunaan sumber optimum dalam penjagaan kesihatan, selain menyokong dalam memacu transformasi penjagaan kesihatan seiring hala tuju kementerian,” katanya.

Dilancarkan sebagai projek perintis pada 15 Jun 2023, SPM bertujuan mengurangkan kesesakan di hospital, terutama di zon hijau jabatan kecemasan hospital KKM.

Lebih daripada 1.57 juta rakyat Malaysia dalam kategori B40 di seluruh negara sudah menerima rawatan dari klinik perubatan am swasta di bawah program ini, setakat akhir Februari lalu, dengan semua kos rawatan pesakit ditanggung kerajaan.

Program dikendalikan PHCorp itu berjaya mengurangkan kesesakan hospital secara ketara.

Terdahulu, Dr Dzulkefly menafikan inisiatif SPM yang membabitkan GP dihentikan sepenuhnya.

Memaklumkan bahawa dakwaan mengenai skim itu dibatalkan sebagai kenyataan mengelirukan, beliau menegaskan masih terdapat GP melaksanakan inisiatif kesihatan berkenaan, membabitkan fasa pertama pelaksanaan di 10 daerah.

Daerah berkenaan adalah Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Johor Bahru, Kinta, Timur Laut, Kota Kinabalu dan Kuching. – 2 Mac, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Syamer Kutty sets sight to surpass Penang FC’s midtable Super League target

Club’s new signing acknowledged expectations were realistic but the winning mentality he developed at JDT remains unchanged 

Friendship fuels coaching alliance: Sang-ryul ready to unite with Sarjit for betterment of Speedy Tigers

Veteran South Korean coach says he would ‘love’ to contribute to the Malaysian hockey team, if Sarjit were to call on his assistance

Related