HEADLINES

Tiga premis terbabit kebakaran di Bukit Selambau beroperasi secara haram: JAS

Buat masa ini, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk ke lokasi kebakaran untuk mengambil sampel kerana kebakaran belum dapat dipadam sepenuhnya

8:57 PM MYT

 

SUNGAI PETANI – Tiga premis di kilang yang terbabit dalam kebakaran di Bukit Selambau, dekat sini malam semalam dipercayai beroperasi secara haram.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata dua premis didapati tidak pernah mendapat sebarang kelulusan operasi daripada JAS, sementara satu premis lagi telah mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2020 tetapi tidak mengemukakan permohonan lesen untuk beroperasi.

“Buat masa ini, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk ke lokasi kebakaran untuk mengambil sampel kerana kebakaran belum dapat dipadam sepenuhnya.

“JAS Kedah walau bagaimanapun, telah memulakan siasatan dan merakamkan percakapan pemilik tanah. Berdasarkan keterangan awal daripada pemilik tanah, lot terbabit telah disewakan kepada tiga premis berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata dua premis yang terlibat disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam dan sekerap logam yang telah diasingkan disyaki dihantar ke ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan.

Beliau berkata aktiviti ketiga-tiga premis terbabit adalah tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata pemantauan kualiti udara 24 jam di lokasi kejadian telah dilaksanakan oleh JAS Kedah bermula hari ini dengan menggunakan peralatan ‘Grimm’ dan ‘Cerex’.

“Siasatan di kawasan kebakaran akan diteruskan menggunakan dron dan persampelan akan dijalankan selepas kebenaran pihak bomba diperoleh bagi memasuki ruang yang terbakar,” katanya.

Tiga gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam semalam.

Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan “bunga api”, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – 4 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related