HEADLINES

Empat penjawat awam direman, terima rasuah RM5 juta daripada sindiket penyeludupan

Setakat ini sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta

5:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat penjawat awam serta masih mengesan seorang lagi kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 15 Mac terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 40 hingga 50-an telah ditahan di sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi hingga 4 petang semalam dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM telah menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak 2018 hingga 2023.

“Setakat ini sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya.

Susulan operasi ini, AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

Selain itu, SPRM turut membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi melalui akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

“Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – 12 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Govt commits RM24mil to bring FIFA World Cup 2026 to every Malaysian screen: Fahmi

Fans nationwide will enjoy full tournament coverage via RTM, Unifi TV, and public viewing events under MADANI government initiative

Related