Jika kedai Muslim jual benda hina Islam, kita akan boikot lebih teruk: Dr Akmal

Menjawab soalan Loke, beliau menegaskan ini bukan soal perkauman, sebaliknya bagi menjaga kesucian agama Islam

10:39 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Akmal Saleh menegaskan, pihaknya akan mengenakan tindakan boikot kepada mana-mana premis perniagaan menjual produk menghina Islam, termasuk sekiranya ia dimiliki pengusaha muslim.

Beliau berkata, gesaannya supaya kedai serbaneka, KK Mart diboikot kerana menjual stoking dicetak perkataan Allah, bukan bersifat perkauman, sebaliknya ia bagi menjaga kesucian Islam.

“Jika kedai orang Islam jual benda yang sama menghina agama Islam, bukan sahaja diboikot, malah lebih teruk kita akan boikot dan kenakan (tindakan) padanya.

“Ini bukan soal perkauman, ini soal menjaga kesucian agama Islam, jika ada mana-mana pihak yang mencemarkan agama Islam, tidak kira bangsa mahupun fahaman politik, kita akan tetap lawan habis-habisan,” katanya menerusi Facebook.

Dr Akmal berkata demikian sebagai menjawab persoalan Setiausaha Agung SAP, Anthony Loke adakah beliau akan menggesa tindakan boikot seperti dibuatnya terhadap KK Mart, sekiranya premis itu milik Muslim.

Loke berkata demikian sebagai menunjukkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan Dr Akmal lantang menegur dan menggesa supaya KK Mart diboikot.

Pada masa sama, Dr Akmal berkata, pihak yang memainkan isu terbabit sebagai perkauman adalah pihak Loke.

“Malulah. Kekal boikot KK Mart,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran lain, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, membidas teguran beberapa pemimpin parti Kerajaan Perpaduan yang menempelak tindakan memboikot KK Mart.

“Saya tak perlu dapatkan persetujuan DAP untuk mempertahankan agama saya dari dihina.

“Siapa pun kamu, saya tak pernah takut dan tak pernah gentar. Fullstop (Noktah)! Kekal boikot!” katanya membidas kenyataan Loke yang memberitahu mahu bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka susulan tindakan Dr Akmal.

Terdahulu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Akmal perlu berhenti memboikot dan seharusnya menjadi ‘pembina jambatan’ antara masyarakat, bukannya menghasut.

Menerusi hantaran berasingan, Dr Akmal meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing supaya ‘melihat cermin terlebih dahulu’.

“Boleh tak seseorang beri cermin pada dia ni? Boleh cermin diri dulu kot…Kalau tiada jawatan pun, saya akan tetap pertahankan agama, bangsa dan tanah air saya!

“Teruskan boikot KK Mart,” kata Dr Akmal.

King Sing dilaporkan meminta Dr Akmal supaya berhenti ‘menyemarakkan api yang sudah padam’, terutama selepas pengurusan KK Mart memohon maaf dan memaklumkan isu penjualan stoking berkenaan adalah kesilapan tidak disengajakan.

Permohonan itu dibuat selepas cawangannya di Bandar Sunway didapati menjual stoking yang menyinggung perasaan masyarakat, terutama umat Islam.

Melalui kenyataannya, pengurusan premis itu mendakwa hanya terdapat lima pasang stoking dengan cetakan Allah dalam penghantaran 18,800 pasang.

Kes itu sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas lebih 40 laporan dibuat pelbagai pihak di seluruh negara. – 20 Mac 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related