Dapur ‘stimbot’ meletup: Wajah melecur, mangsa jalani rawatan khusus pulih kulit

Asri berkata, keluarganya terpaksa mengambil tindakan sebagai pengajaran, selain memastikan keselamatan orang lain

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiada apa diharapkan dua mangsa insiden dapur gas meletup di sebuah restoran stimbot baru-baru ini, kecuali ingin kulit wajah mereka yang melecur teruk, pulih segera.

Pasangan bapa dan anak itu kini terpaksa berulang-alik dari kediaman mereka di Bera, Pahang ke pusat perubatan pakar swasta di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan khusus pemulihan kulit wajah.

Bercakap kepada Scoop, ahli keluarga mereka, Asri Yusof berkata, kedua-dua mangsa itu yang juga anak dan cucunya, perlu mendapatkan rawatan berkenaan setiap minggu bagi memulihkan luka dan struktur kulit serta menghilangkan kesan lecur.

“Sekarang baru beberapa hari mereka buat rawatan di Ampang, termasuk special treatment (rawatan khusus).

“Sejak kejadian pada 9 Mac lalu, seminggu sekali mereka perlu menjalani rawatan, jadi sudah dua kali mereka melakukannya.

“Diikutkan, rawatan ini perlu dijalani beberapa kali lagi untuk doktor tengok perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai insiden terbabit, Asri berkata, ketika kejadian tujuh ahli keluarga besannya sedang menikmati stimbot, sebelum alat memasak itu tiba-tiba meletup.

“Anak saya bersama keluarga besan saya baru-baru ini makan di sana (restoran). Berlaku kejadian gas memasak stimbot meletup menyebabkan ahli keluarga tercampak dan melecur di muka dan tangan.

“Sangat bahaya dan boleh menyebabkan kecelakaan yang boleh meragut nyawa. Kesan melecur tentunya akan menjadi kecacatan kekal,” katanya.

Bagaimanapun, Asri berkata, apa yang mengecewakan apabila pemilik restoran itu, langsung tidak menuntukkan simpati atau kekesalan mengenai tragedi terbabit, malah tidak mengambil inisiatif menghubungi keluarga besannya terlebih dahulu.

Katanya, hanya selepas dihubungi keluarga mangsa untuk mendapatkan penjelasan, barulah pemilik itu memberi respon terhadap kes terbabit.

“Dia (pemilik restoran) kata dia nak melawat selepas dihubungi keluarga mangsa, tapi besan saya (Kak Nor) tanya nak melawat untuk apa kerana sudah beberapa hari kejadian, sepatutnya nak melawat dari awal.

“Saya cakap kepada pihak restoran kenapa tak melawat, dia boleh kata Kak Nor tak benarkan, saya kata tentulah dia menolak kerana kecewa kamu tak beri respon sejak awal, tapi kamu tetaplah kena ambil tanggungjawab, tunjukkan prihatin, pergi jumpa,” katanya.

Asri berkata, dakwaan mengatakan besannya itu meminta wang sebagai pampasan adalah tidak benar, malah ketika dihulur RM1,000, Kak Nor menolak kerana dia bimbang ia dianggap sebagai pampasan penyelesaian

“Ini bukan soal kami mahukan duit pampasan tapi dia patutnya tunjuk rasa prihatin dan tanggungjawab sungguh-sungguh kerana kes letupan itu serius.

“Saya sengaja kata, kamu ingat bagi RM1,000 dengan mangsa perlu berulang daripada Bera ke Kuala Lumpur cukup ke untuk duit minyak dan belanja,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Susulan situasi itu, Asri berkata, keluarga besannya sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan restoran berkenaan.

“Ini bukan soal pampasan tetapi sebagai pengajaran kerana pihak terbabit tidak menunjukkan tanggungjawab dan penyesalan, malah tidak mengaku bersama dengan memberikan pelbagai alasan, jadi kami perlu teruskan tindakan saman.

“Dia kata kes ini bukan sebab dia, ini sebab tong gas dia beli tu yang masalah, apa kaitannya, isunya sekarang kami ni mangsa restoran dia, bila keluarga Kak Nor tak layan, dia buat statement (kenyataan) kata dia dah berbincang tapi tak ada berbincang, tak ada persetujuan.

“Malah, apa saya tahu kes dialami keluarga saya bukan pertama berlaku kerana pada hujung tahun lalu, ada insiden sama terjadi membabitkan keluarga lain yang dengarnya turut menyaman restoran,” katanya.

Ujarnya, pemilik restoran sepatutnya menutup sementara perniagaan untuk mengatasi isu dan membuat tambah baik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Tetapi ini tidak, mereka dikhabarkan beroperasi seperti biasa. Saya terpaksa mengambil tindakan kerana tidak mahu lebih ramai orang menjadi mangsa.

“Saya bukan nak musnahkan bisnes dia, tapi dengan cara dia tak ambil tanggungjawab sungguh-sungguh, saya kongsi dan viral demi keselamatan orang supaya lebih berhati-hati,” katanya. – 20 Mac, 2024

Topics

Hangat

Stormy afternoon leads to another fallen tree in KL, this time on Jalan Pinang

Road is temporarily closed with circulating photos showing the tree smashing into a vehicle as it was raining heavily

‘Tak pakai otak ke’ netizen selar sekumpulan individu memasak di stesen minyak

Tindakan sekumpulan belia yang memasak menggunakan dapur gas mini di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands mengundang kemarahan ramai.

Lagi pokok tumbang, kali ini di Jalan Pinang, turut hempap kenderaan

Menerusi gambar yang dimuat naik di media sosial, sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan

Related