Kita tak anjur Sukan Komanwel jika bazirkan ‘duit rakyat’: Hannah Yeoh

KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh Persekutuan Sukan Komanwel

1:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya keputusan yang bakal diambil oleh Jemaah Menteri berhubung penganjuran Sukan Komanwel 2026 mengutamakan kepentingan negara tanpa membelakangkan rakyat.

Hannah berkata, perbincangan penganjuran temasya sukan ketiga terbesar yang dijadual diadakan dalam mesyuarat Kabinet esok itu, memerlukan penelitian terperinci dan tidak boleh diputuskan secara sambil lewa.

“Setakat ini pendirian Kerajaan Persekutuan belum diketahui tetapi saya boleh nyatakan pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu apa yang pasti KBS sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu dan tidak sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya.

“Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ia melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri.

Selain menawarkan Malaysia sebagai tuan rumah selepas Victoria menarik diri tahun lepas, CGF turut menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM603 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AU$2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Mengambil kira wang pembayar cukai jika terpaksa digunakan, Hannah berkata, pilihan terbaik mungkin diambil oleh kerajaan ialah untuk tidak menganjurkannya, bagaimanapun bergantung kepada keputusan Kabinet esok.

Beliau berkata, KBS juga bersedia melantik badan pengawal untuk membuat audit kepada akaun penganjuran jika keputusan dibuat untuk Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

“Ini mengambil kira semua maklum balas yang telah kita teliti sejak minggu lepas, semua berita, pandangan Olimpian dan tokoh terdahulu yang menganjurkan (temasya ini). Semua memberikan pandangan mereka dan kita telah baca.

“Paling utama ialah kementerian mahu memastikan tatakelola betul diikuti, pengurusan kewangan yang telus, segala kos dan perbelanjaan direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran boleh ditutup dengan pantas dan baik,” katanya. – 21 Mac, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Boustead Naval Shipyard managing director files application to dismiss CBT charges, cites poor health

Former navy chief is accused of fraudulently approving payments of RM21.08 million to three firms without board approval

Related