Gangguan elektrik: Pengunjung kecewa IOI City Mall ditutup pada cuti umum

Ada juga yang datang pagi untuk membeli kelengkapan raya namun tidak kesampaian

6:05 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Penutupan sehari pusat beli-belah IOI City Mall dekat sini ekoran gangguan elektrik nyata mengecewakan ramai pihak khususnya pengunjung yang datang untuk membeli persiapan Aidilfitri.

Malah ‘tragedi’ pada cuti umum sempena Nuzul al-Quran itu turut mengganggu peniaga yang bimbang dengan sasaran jualan kerana IOI City Mall antara yang menjadi tumpuan utama warga kota membeli-belah mahupun menghabiskan masa bersama keluarga.

Seorang pengunjung, Zeila Azman mengakui kecewa apabila mendapati pusat beli-belah itu terpaksa ditutup buat sementara waktu. – Gambar Faiz Mohamed/Scoop, 28 Mac, 2024

Seorang pengunjung yang juga pekerja sektor swasta, Zeila Azman, 38, berkata, dia datang ke pusat beli-belah itu seawal pembukaan pada waktu pagi untuk mencari keperluan raya.

“Saya datang ke sini menggunakan kereta dan semua pintu masuk ditutup. Tiada penjelasan mengapa mereka menutup laluan tersebut terutama nak ke tempat letak kenderaan.

“Kemudian saya pulang ke rumah dan kembali menaiki Grab dan mendapati bahawa mall juga ditutup, seperti yang dinyatakan dalam notis asal bahawa ia dijangka dibuka pada pukul 1 hingga 5 petang hari ini,” kata Zeila.

Sehingga jam 1.15 tengah hari, setelah satu jam lebih menunggu, dia mendapati pusat beli-belah itu masih belum dibuka.

“Saya datang ke sini untuk membeli barangan raya, sepatutnya pengurusan mall memberitahu pengunjung keadaan yang sebenar. Kalau mall tutup sepatutnya dari tempat letak kenderaan lagi perlu diberitahu kepada orang ramai.

“Tiada sebarang papan tanda untuk memberitahu kami dan pengawal lalu lintas juga tidak mengatakan apa-apa mengenai gangguan bekalan elektrik.

“Saya hanya mengetahui tentang gangguan bekalan elektrik melalui media sosial mereka. Bagi orang yang tidak menggunakan media sosial, semestinya tidak akan sedar tentang penutupan mall,” tambahnya.

Dia berkata, tidak ada siapa yang akan menyangka bahawa terutamanya hari ini mall akan ditutup, kerana ia adalah cuti umum dan semua orang akan datang untuk membeli-belah persiapan raya.

“Saya datang ke sini untuk membeli baju raya anak-anak, dan nasib baik saya tidak membawa mereka bersama kerana saya perlu menunggu di luar dengan cuaca panas untuk jangka masa yang lama. Saya datang ke sini kerana ia mudah, saya boleh mendapatkan semua barang raya di sini berbanding saya pergi ke mall lain dengan kurang variasi barang raya,” katanya.

Pekerja restoran, Afiqah Rodzi menjelaskan, gangguan bekalan elektrik itu bermula sejak semalam. – Gambar Faiz Mohamed/Scoop, 28 Mac, 2024

Sementara itu seorang pekerja restoran di IOI City Mall, Afiqah Rodzi, 20an, mengatakan bahawa gangguan bekalan elektrik telah berlaku sejak malam semalam.

“Kira-kira jam 9.30 malam semalam, terdapat gangguan bekalan elektrik tetapi ia tidak berlanjutan untuk jangka masa yang lama, hanya kira-kira 15 minit. Kami masih sempat melakukan prosedur penutupan dan pulang ke rumah kira-kira jam 10.20 malam.

“Untuk hari ini, masih tiada arahan lanjut daripada pengurusan atasan mengenai persediaan berbuka puasa,” tambahnya.

Seorang pekerja kedai pakaian, Norfarhana Effende berkata suasana pusat beli-belah itu agak tenang ketika kejadian. – Gambar Faiz Mohamed/Scoop, 28 Mac, 2024

Norfarhana Effende, 25, yang bekerja di kedai pakaian berkata, ketika gangguan bekalan elektrik pertama kali berlaku, persekitaran agak tenang kerana orang sudah mula meninggalkan pusat beli-belah itu.

Namun bagi Anisa Che Murad, 30, yang juga pekerja di kedai pakaian menyatakan kebimbangannya kerana penutupan tiba-tiba akan mengganggu sasaran jualan hariannya.

“Semasa cuti umum, jualan yang biasanya dicapai oleh kedai kami agak tinggi, namun kerana penutupan, pengurusan mall tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian jualan,” katanya kecewa.

Seorang lagi pekerja kedai pakaian, Anisa Che Murad mengakui bimbang penutupan mengejut itu akan menjejaskan jualan. – Gambar Faiz Mohamed/Scoop, 28 Mac, 2024

Seorang pekerja di sebuah pusat pawagam, Khairul Dzafuan Hasnol, 28, pula berkata, pihak pawagam akan mengembalikan wang tiket yang telah dibeli untuk tayangan hingga jam 5 petang hari ini.

“Penonton telah sampai ke sini pagi tadi kerana mereka tidak mengetahui tentang penutupan mall. Apa yang kami boleh lakukan hanyalah mengumpulkan butiran pembelian mereka dan menghantarnya ke ibu pejabat untuk diproses lebih lanjut.

“Dari segi jualan, kami terjejas kerana semasa cuti umum biasanya akan ramai orang yang datang, ditambah pula dengan filem yang baru ditayangkan iaitu Godzilla X Kong,” katanya.

Pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya ditutup untuk orang ramai hari ini kerana Tenaga Nasional Bhd (TNB) mungkin memerlukan masa tambahan untuk memulihkan gangguan elektrik di premis berkenaan.

Kakitangan sebuah pusat pawagam, Khairul Dzafuan Hasnol berkata, pihak pawagam akan mengembalikan wang untuk tiket yang telah dibeli bagi tayangan hingga jam 5 petang hari ini. – Gambar Faiz Mohamed/Scoop, 28 Mac, 2024

Pihak pengurusan pusat beli-belah itu dalam satu kenyataan terbaru memaklumkan, TNB sudah mengenal pasti pelbagai kerosakan dan kini sedang berusaha untuk memulihkannya.

Awal hari ini, Scoop melaporkan pusat beli-belah itu ditutup sementara kerana gangguan elektrik dan dijangka beroperasi semula antara jam 1 tengah hari hingga 5 petang ini.

Gangguan itu dipercayai berlaku pada jam 12.45 tengah malam tadi berikutan gangguan elektrik di loji TNB yang membekalkan bekalan elektrik ke pusat beli-belah itu. – 28 Mac, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related