Isu Tambak Johor: “Turun padang Cuepacs! Bukan buat kenyataan di kerusi empuk bilik aircond’

Dr Muhamad Akmal Saleh mahu Cuepacs memahami mengapa Menteri Besar Johor meluahkan isu pintu sempadan negara di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar di media sosial

9:57 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) digesa turun padang melihat sendiri masalah kesesakan dihadapi rakyat di Tambak Johor dan bukannya hanya pandai membuat teguran atau kenyataan di ‘kerusi empuk’.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, gesaan itu bagi membolehkan Cuepacs memahami mengapa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan isu merangkumi perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terbabit di media sosial.

Menempelak kenyataan Cuepacs yang menegur tindakan Onn Hafiz itu, Dr Akmal berkata, perkongsian di media sosial sememangnya perlu bagi memberi kesedaran kepada pihak berkaitan, termasuk menteri dan pegawai atasan menyedari isu sebenar membelenggu rakyat.

“Sebab tu penting bila jadi pemimpin turun ke bawah dengar dan lihat sendiri apa keluhan rakyat. Bukan hanya buat kenyataan di kerusi empuk dalam bilik aircond (pendingin hawa).

“Kerana apa yang di atas kertas, selalunya tidak sama apa yang berlaku sebenarnya,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, rakyat Johor tahu bagaimana kegigihan Onn Hafiz turun padang, sama ada pagi, petang atau tengah malam untuk melihat sendiri isu.

Malah, katanya, usaha itu berulang kali dilakukan Onn Hafiz, tetapi masalah sama masih berlaku.

Justeru, Akmal berkata, apabila tetap terjadi, sudah tentu ia perlu dikejutkan dengan kuasa viral rakyat.

“Barulah menteri-menteri dan pegawai atasan ini tersedar dari lamunan mimpi. Dalam isu ini, saya minta Setiausaha Cuepacs turun sendiri melihat dan bukan hanya pandai buat kenyataan di kerusi empuk.

“Kita ini semua bekerja untuk memudahkan urusan rakyat, bukan menyusahkan mereka lagi. Teruskan Menteri Besar Johor, rakyat bersama anda,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa Cuepacs menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin untuk mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Abdul Rahman berkata, mengenai teguran Menteri Besar Johor kepada Jabatan Imigresen berhubung isu kesesakan di tambak berkenaan, kakitangan di sempadan negara itu sudah bertungkus-lumus menguruskan kemasukan rakyat Malaysia ke Singapura dan perjalanan sebaliknya.

Katanya, lawatan Onn Hafiz dilakukan di luar waktu puncak malah sebilangan kecil kaunter di situ, ditutup kerana pertukaran giliran pegawai rehat serta tugas pentadbiran lain.

Pegawai di Tambak Johor, jelasnya, sudah bertungkus-lumus di pintu sempadan antara tersibuk di dunia itu.

“Kritikan akan menyebabkan moral pegawai jatuh,” katanya.

Pada Isnin lalu, Onn Hafiz menerusi Facebook melahirkan kekecewaan apabila tinjauannya mendapati 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai, sehingga menyebabkan kesesakan sehari sebelum itu.

Menurutnya, perkembangan pengoperasian di Tambak Johor itu menunjukkan ia masih belum berada pada tahap kecekapan penuh. – 27 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

‘Kucing cari Sivasutan dalam bilik hari ini,’ kata bapa mangsa nahas helikopter Lumut

‘‘Dia sangat sayangkan kucing, malah hari ini kucing naik tangga cari dia dalam bilik,’’ kata M. Thanjappan, 61 ketika menceritakan mengenai anaknya, mendiang T Sivasutan yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, semalam.

I’m a target for following rules: ousted SME Assoc chief chides ‘personally motivated’ detractors

Ding Hong Sing says supposed coup began in Jan when he refused to sign its 2023 financial account, resulting in some council members pushing for his removal

Related